Harga petrol & diesel dijangka terus turun – Ahmad Maslan
Memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, yang disiarkan Bernama, harga minyak dunia dijangka terus turun sehingga Januari depan berdasarkan trend penurunan dalam tempoh minggu pertama Disember ini.
Beliau berkata maklumat yang diperoleh menunjukkan purata harga mingguan minyak dunia menurun dan memungkinkan bahan api jenis RON97, RON95 dan diesel di negara ini diruncitkan pada harga yang lebih rendah.
“Mengikut trend seminggu ini, RON95 akan turun lagi, RON97 akan turun lagi, diesel mungkin akan turun lagi daripada RM2.23 sekarang,” katanya.
Menurutnya lagi, rakyat sepatutnya telah memperoleh manfaat daripada kejatuhan harga minyak jika komuniti perniagaan mengambil langkah susulan untuk menurunkan harga barangan keperluan.
“Rakyat di luar sana menanti. (Apabila harga) minyak naik (komuniti peniaga) terus naik (harga barangan). (Apabila) minyak turun, (harga barangan) tak turun turun (lagi),” katanya.
Ahmad berkata penurunan harga RON97 telah menyebabkan peningkatan permintaan yang mendadak terhadap minyak itu di negara ini.
Bagaimanapun, katanya setakat ini, tiada bukti menunjukkan wujud pihak tertentu yang cuba membeli minyak tersebut dalam jumlah yang banyak untuk tujuan disimpan dan dijual semula sekiranya harga meningkat pada masa depan.
Menurutnya berikutan pengumuman penurunan harga minyak itu pada 1 Dis lepas, permintaan untuk petrol RON97 di negara ini telah meningkat sebanyak lima kali ganda.