Volkswagen Passat B8 tampil lebih mewah & evolusi
Volkswagen Passat generasi ke-lapan turut ditampilkan secara perdana di Volkswagen.Das Event yang berlangsung di Skypark Aviation Centre, Bukit Jelutung, Shah Alam. Biar pun buat setakat ini, Volkswagen Group Malaysia (VGM) belum mengesahkan bilakah Passat terbaharu ini memasuki pasaran Malaysia.
Sedan dari segmen-D yang turut menggunakan kod nama B8 ini merupakan model terbaharu dan paling besar (setakat ini) yang dibina dengan hasil kejuruteraan modular MQB. Memiliki ukuran kerangka 4,767 mm panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456 mm tinggi, model ini juga 2 mm lebih pendek, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah berbanding dengan model Passat sedia ada (B7).
Bukan itu sahaja, jarak rodanya juga berukuran 2,791 mm iaitu lebih 79 mm daripada Passat B7, secara tidak langsung membuatkan model generasi ke-lapan ini memiliki ruang yang lebih luas termasuk ruang kaki dan ruang kepala.
Sebagai tambahan, model sedan Passat B8 ini juga memiliki ruang kargo yang lebih luas dengan kapasiti 586 liter. Manakala bagi model estate pula, ruang kargonya seluas 650 liter. Berat Passat B8 ini juga telah dikurangkan sebanyak 85 kg bagi memberikan pembinaan kerangka yang lebih ringan.
Jika dilihat pada imej yang ditampilkan, selain memberikan lebih kesegaran, ia juga tampak lebih elegan dan eksklusif. Bahagian hadapannya kelihatan sedikit lebar dengan struktur horizontal termasuklah penampilan kekemasan krom pada gril dan corong udara yang lebih rendah. Padanan lampu utama trapezoidal bersama teknologi LED juga menambahkan lagi gaya hadapannya.
Bumbung model ini juga kelihatan sedikit rendah memberikan kesan yang lebih sporty. Bahagian belakang juga menampilkan rekaan yang lebih evolusi berbanding dengan model sedia ada, termasuklah dengan penampilan lampu belakang LED dan paip ekzos berkembar.
Gayanya diperhebatkan lagi bagi rekaan di dalam kabin, malah diberi penambahbaikan termasuklah jaluran aliran udara melintangi papan pemuka. Roda sterengnya juga leper bagi memberikan imej yang sporty, konsol tengah Passat B8 ini juga sama seperti model Golf Mk7, meter instrumen digital yang pertama untuk model Volkswagen, Dubbed Active Info Display bersaiz 12.3 inci yang memaparkan informasi navigasi, fungsi bantuan pemandu, informasi muzik dan nombor telefon bagi telefon pintar.
Selain itu, ia juga menampilkan sistem hiburan MIB generasi terbaharu yang terletak di konsol tengah, ia mempunyai skrin sesentuh besar dan resolusi tinggi, pemprosesan yang lebih laju dan pilihan sambungan MirrorLink untuk telefon pintar. Bukan itu sahaja, sistem hiburan di tempat duduk belakang pula boleh di kawal menerusi tablet dengan pilihan rangkaian tanpa wayar (WLAN).
Mempunyai lima pilihan enjin petrol TSI dengan kuasa maksimumnya ditingkatkan daripada 132PS ke 280PS, dan tiga enjin diesel TDI pula mempunyai kuasa antara 150 PS dan 240 PS. Kesemua enjin ini turut dipadankan dengan pacuan semua-roda 4Motion dan juga transmisi klac-berkembar DSG tujuh-kelajuan.
Model Passat B8 ini telah pun berada di pasaran Eropah dengan harga bermula €25,875 (RM112,200) untuk sedan dan €25,950 (RM112,700) bagi estate.