VOLKSWAGEN. Das Event membawa misi mengubah pengalaman pemilikan
Volkswagen Group Malaysia (VGM) hari ini menganjurkan acara Das Event di Malaysia yang berlangsung selama tiga hari dan hanya untuk jemputan khas sahaja iaitu para pelanggan, media, pengedar dan tetamu-tetamu kehormat (tidak dibuka untuk umum).
Acara dengan tema ‘Sentiasa di Sisi Anda’ itu membuktikan kesungguhan Volkswagen untuk menambah baik pengalaman pemilikan dan jenama dalam kalangan para pelanggannya di Malaysia.
Ia juga juga bertindak sebagai platform buat syarikat untuk berkongsi warisan jenamanya yang kaya, inovasi dan kemajuan teknologinya. Di samping ingin mengotakan janji untuk memberi pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada semua pelanggan Volkswagen di Malaysia.
Setelah sekian lama bertapak di Malaysia, Volkswagen dilihat berjaya mengembangkan teknologi automotif dan mengaplikasikannya ke atas jalan raya menerusi setiap siri model keluarannya. Dalam acara ini, Volkswagen mempamerkan rangkaian kenderaan bertaraf dunia yang luas dan ditawarkan di pasaran Malaysia demi memenuhi kehendak pelanggan yang pelbagai.
Buat setakat hari ini, Volkswagen telah menawarkan 15 model ke pasaran tempatan dengan empat daripadanya dipasang di Malaysia. Kereta-kereta ini dilengkapi dengan teknologi penjimatan bahan api termasuklah enjin TSI.
Bagi acara Das Event tahun ini, tiga model Volkswagen baharu turut ditampilkan secara perdana walau pun ada di antaranya mungkin tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Model yang dipertontonkan ini termasuklahPassat B8, pastinya menarik perhatian ramai apabila sedan eksekutif ini dipertontonkan.
Pernah dipertontonkan di Paris Motor Show baru-baru ini, Passat B8 turut menawarkan pelbagai sistem bantuan pemandu, infotaimen serta keselesaan terkini yang menjadikan aspek mobiliti lebih selamat, mapan dan saling berhubung.
Menyertai Passat ialah Golf GTE iaitu model plug-in hybrid pertama yang memiliki DNA Golf GTI. Menggabungkan aspek sporty dan kelestarian, Golf GTE menawarkan prestasi luar biasa yang diwarisi daripada model Golf GTI dan sifar emisi apabila menggunakan E-mode.
Dengan penggunaan bahan api hanya 1.5L bagi setiap 100km dan jarak sejauh 939km dalam mod hibrid, Golf GTE mampu menawarkan kelajuan maksimum mencecah 222 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh cuma 7.6 saat. Model hot-hatch ini tidak memerlukan sebarang struktur khas untuk mengecas, malah ia boleh dicaj penuh dalam tempoh kurang empat jam menggunakan soket konvensional.
Malah VGM turut mengesahkan Golf GTE ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan.
Dan model yang paling menjadi tumpuan utama di dalam Das Event ini sudah pasti model e-Up! yang diproduksi bagi membawakan satu interpretasi ideal tentang misi perlindungan alam sekitar oleh Volkswagen melalui tiga “indikator sifar”.
Menawarkan sifar emisi, sifar penggunaan bahan api dan sifar bunyi bising, kereta elektrik termaju Volkswagen ini mampu menyediakan prestasi tork memberangsangkan iaitu 210Nm dan perjalanan yang berterusan sehingga sejauh 157km.
Berucap pada majlis tersebut, Presiden Operasi Komersial untuk Pasaran China/Asean Volkswagen AG, Weiming Soh berkata, “Janji Volkswagen iaitu ‘Sentiasa di Sisi Anda’ juga bermaksud tanggungjawab terhadap aspek mobiliti masa depan. Ia lebih menjimatkan, berkuasa, menawarkan keseronokan memandu, selesa dan kurang emisi. Sama ada enjin-enjin TSI yang memenangi anugerah atau kenderaan elektrik yang visionari, mobiliti mapan sememangnya menjadi keutamaan kami.”