Uber Volkswagen Charity Drive undang selebriti jadi supir
Volkswagen Malaysia telah bekerjasama dengan Uber, menganjurkan acara kebajikan yang melibatkan pembabitan lebih 50 orang selebriti terkenal tempatan sebagai supir (pemandu). Ini merupakan penganjuran buat kali pertama antara kedua belah pihak dengan objektif bagi mengutip dana kebajikan.
Antara model Volkswagen yang terpilih bagi acara kebajikan ini ialah Scirocco, Tiguan, Touareg, Beetle, Polo, Passat, Golf, Jetta dan Cross Touran.
Menurut Pengarah Urusan Volkswagen Malaysia, Armin Keller, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama di dalam acara kebajikan sebegini. Ia juga konsisten dengan tagline terbaharu mereka iaitu “Always by your side”.
Setiap bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan Uber yang dipandu oleh para selebriti terpilih ini akan disalurkan pada dana kebajikan yang terpilih. Antara selebriti yang mengambil bahagian ialah Sazzy Falak, Ean Nasrun & Jinnyboy, Afdlin Shauki, Joyce Wong, Yasmin Hani, Lisa Surihani, Dynas Mokhtar, Sheena Liam, Reshmonu, Phat Fabes, JJ, Moots Shuvit, Sarah Lian, dan ramai lagi.
“Untuk menunjukkan tanda penghargaan buat pelanggan setia Uber, kami mengambil keputusan untuk menganjurkan acara ini di samping mengutip dana bagi tujuan kebajikan. Malah acara yang berlangsung selama sehari ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan buat pelanggan setia kami dan juga pemandu selebriti yang diundang,”ujar Lakshmi Patmarajah, Ketua Bahagian Pemasaran Uber Malaysia.