Alfa Romeo Giulietta Business Edition hanya di UK sahaja
Mensasarkan dunia perniagaan, Alfa Romeo telah pun memperkenalkan model Giulietta Business Edition di pasaran United Kingdom (UK) sahaja.
Model Giulietta edisi istimewa ini diproduksi berdasarkan model facelift yang diperkenalkan pada setahun yang lalu dan dilengkapi dengan elemen ekstra bernilai £2,000.
Jika model Giulietta Distinctive menerima padanan rim aloi bersaiz 16 inci, zon berkembar kawalan penghawa dingin, pengesan parkir belakang, kawalan kelajuan dan DAV & Bluetooth, varian Business Edition pula menambah elemen seperti sistem hiburan Uconnect bersaiz 6.5 inci, pengesan hujan & lampu, pengesan parkir hadapan, tempat duduk hadapan berkuasa elektrik, cermin sisi berkuasa elektrik dan cermin pandang belakang anti-silau.
Jika pelanggan membayar tambahan sebanyak £2,500 bagi pek premium, elemen seperti lampu utama bi-xenon, sistem bunyi Bose dan bumbung matahari berkuasa elektrik turut ditampilkan.
Selain itu, dengan kos pertambahan lain, elemen seperti rim aloi bersaiz 18-inci pelbagai rekaan (+ £650), lapisan cermin gelap (+ £210) dan kaliper brek Brembo (+ £500) boleh dijadikan pilihan.
Dengan harga bermula £18,990 (RM104,441), Alfa Romeo Giulietta Business Edition dijanakan oleh enjin 1.6 liter JTDM-2 turbodiesel yang mampu memberikan kuasa sehingga 105 hp.
Namun pelanggan juga boleh memilih enjin 2.0 liter JTDM-2 yang berkeupayaan memberikan kuasa sehingga 150 hp, pada harga bermula £20,290 (RM111,610). Kedua-dua enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.
Selain itu, Alfa Romeo turut menawarkan pilihan enjin 1.4 liter turbo gasolin (170 hp) pada harga bermula £20,810 (RM114,475) dan 2.0 JDTM-2 (175 hp) bermula harga £22,450 (RM123,490). Kedua-dua versi yang agak mahal itu dipadankan dengan transmisi Alfa TCT twin dry-clutch enam-kelajuan.