Toyota dedah perician prestasi Mirai FCV 2016 menerusi video
Toyota USA telah menyiarkan beberapa klip video dengan rakaman mengenai perician prestasi dan spesifikasi model Mirai FCV 2016.
Malah menerusi klip video ini, orang ramai boleh mengetahui bagaimana sistem sel bahan api jentera ini beroperasi yang mengambil oksigen di dalam udara dan menggabungkannya dengan hidrogen bagi menghasilkan kuasa elektrik bagi menjana motor elektrik Mirai FCV ini.
Selain itu, Toyota turut memberikan penerangan lebih terperinci mengenai spesifikasi teknikal termasuk mengesahkan model ini boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9 saat. Sistem sel bahan api ini juga boleh menghasilkan kuasa sehingga 155 PS dan enjin Mirai FCV ini boleh dihidupkan walau dalam suhu serendah -22° C.
Mirai ini juga boleh dipacu sehingga 483 km dengan satu tangki penuh. Malah ia mengambil masa lebih kurang tiga minit untuk pengisian semula tangki bahan api.
Klip video ini juga memberikan pendedahan mengenai ruang dalaman Mirai ini termasuk memaparkan sistem kawalan suhu dan dua skrin paparan bersaiz 4.2-inci. Jentera mesra alam ini juga memiliki ruang kargo berkapasiti 361 liter.