Toyota Mark X GRMN edisi terhad hanya 100 unit sahaja
Dibina berdasarkan model Mark X 350S, akhirnya model konsep Mark X GRMN dizahirkan secara produksi. Menampilkan bampar hadapan dan bumbung CFRP baharu, Mark X GRMN ini juga dipadankan dengan perumah cermin sisi berwarna hitam, spoiler pada bahagian bonet belakang dan rim aloi bersaiz 19-inci.
Manakala bahagian kabinnya juga mengalami perubahan yang sedikit terhad, dengan menampilkan tempat duduk sport, roda stereng sport dan kekemasan gentian karbon.
Mark X GRMN dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 321 PS dan tork setinggi 380 Nm. Ia juga digabungkan dengan transmisi manual enam-kelajuan yang mampu menghantar kuasa menerusi Torsen limited-slip differential.
Bagi memberikan pengendalian dan prestasi yang lebih menguja, Mark X GRMN turut dilengkapi dengan suspensi talaan-sport, brek berprestasi tinggi dan bantuan tambahan chasis.
Diproduksi hanya 100 unit sahaja, Mark X GRMN akan dijual pada harga bermula 5.4 juta yen (RM156,442).