LLM umum kutipan tol di Plaza Kundang Barat & Plaza Kundang Timur berkuatkuasa mulai 1 Jan 2015
Mulai jam 12.01 tengah malam 1 Januari 2015 ini, kutipan tol di Plaza Tol Kundang Barat dan Plaza Tol Kundang Timur akan dilaksanakan, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menurusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, kutipan itu akan dilaksanakan secara sistem tol terbuka dan kadarnya bermula pada RM1.30 untuk kelas 1, RM2.60 untuk kelas 2, RM3.90 untuk kelas 3, RM 0.70 untuk kelas 4 dan RM1.30 untuk kelas 5.
Di mana sebelum ini pengguna di laluan susur keluar di KM 1.7, Lebuhraya LATAR ke Jalan B149, Kundang, yang dibuka sejak 21 Julai lalu, tidak dikenakan bayaran tol. Pengecualian bayaran tol ini adalah hasil rundingan antara kerajaan dengan Syarikat Konsesi dan tiada sebarang pampasan dibayar kepada Syarikat Konsesi.
Sehubungan itu, LLM menasihatkan pengguna supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan untuk ke destinasi dituju.