Lagi diskaun tol sempena perayaan Krismas
Menerusi laman web rasminya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah mengumumkan pengguna lebuh raya PROLINTAS akan menikmati kadar diskaun sebanyak 20% bersempena Hari Krismas tahun ini.
Pengguna akan menikmati kadar diskaun tersebut di ketiga-tiga lebuh raya kendalian PROLINTAS iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) bermula dari jam 6 pagi pada 25 Disember 2014 sehingga jam 6 pagi 26 Disember 2014.
“PROLINTAS ingin berkongsi kemeriahan menyambut Hari Krismas ini bersama semua pengguna lebuh raya kami. Diskaun ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam menyumbang kembali kepada masyarakat. Ia juga adalah satu tanda penghargaan dari PROLINTAS untuk semua pelanggan kami,” kata Datuk Ir. Zainudin A. Kadir, Ketua Eksekutif Kumpulan, PROLINTAS.
Pengguna lebuh raya terbabit juga boleh mengikuti maklumat trafik terkini di Twitter iaitu AKLEHtrafik, GCEtrafik dan LKSAtrafik.
Sementara itu, pengguna kenderaan Kelas 1 di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) juga bakal menikmati diskaun tol 10 peratus pada hari yang sama.
Diskaun tol dari 12.01 pagi hingga 12 tengah malam esok itu melibatkan semua plaza tol Besraya dan NPE, dan Plaza Tol Ampangan sahaja bagi Lekas, menurut kenyataan Divisyen Tol IJM, pengendali syarikat konsesi ketiga-tiga lebuh raya itu.