MAI kongsi prospek industri automotif Malaysia bagi tahun 2015
Hari ini merupakan hari terakhir bagi tahun 2014. Tepat jam 12:00 pagi, tahun 2015 akan memulakan tugasnya. Jika 2014 merupakan tahun yang dianggap antara cabaran terbesar bagi Malaysia termasuk dalam insiden MH370, MH17 dan bencana banjir yang melanda terutamanya negeri di Pantai Timur yang terjejas teruk, diharap kehadiran 2015 bakal memberikan sinar yang lebih bermakna buat negara kita.
Industri automotif Malaysia juga diharap mampu merancakkan lagi ekonomi negara. Tahun 2015, lebih banyak lagi model kenderaan bakal dipasarkan di sini, sama ada unit pemasangan tempatan (CKD) mahu pun yang diimport dari luar negara (CBU).
Antara model kenderaan (sama ada baharu atau sekadar facelift) yang bakal dilancarkan di dalam kalender 2015 termasuklah Honda HR-V, Nissan X-Trail 2015, Honda City Hibrid, Perodua Myvi baharu, Ford Mondeo, Toyota Camry Hibrid, Volkswagen Golf GTE, Proton Exora facelift, BMW 2 series Active Tourer, Ford Everest dan banyak lagi.
Beberapa minggu sebelum 2014 berakhir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari, sempat berkongsi tentang prospek industri automotif Malaysia bagi tahun 2015.
Jika Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dilaporkan telah mensasarkan peningkatan sebanyak 2% atau pun 693,600 unit bagi TIV bagi 2015, pihak MAI pula meramalkan 700,000 unit bagi TIV pada tahun yang sama.
Menurut Madani, ramalan ini dilakukan selepas menganalisis TIV sehingga Sept 2014. Ia juga mengambil kira TIV pada suka terakhir 2014 dan beberapa faktor ekonomi lain. Walau bagaimana pun, isu semasa yang melibatkan penurunan harga bahan api dan Ringgit Malaysia yang susut nilai tidak diambil kira. Ramalan TIV bagi 2015 akan dikeluarkan pada awal Januari depan.
Berhubung dengan implementasi GST yang mungkin akan menjejaskan minat untuk membeli kenderaan baharu oleh rakyat Malaysia, Madani berpendapat, sesetengah pengguna mengambil sikap tunggu dan lihat. Ia dianggap sebagai proses biasa.
“Ini adalah pasaran bebas dan setiap pengguna berhak untuk menentukan apa yang mereka mahukan. Lebih banyak permintaan, akan membuatkan pasaran lebih ke hadapan. Situasi ini biasanya akan dipantau oleh pihak OEM yang akan melaraskan perancangan pemasaran mereka mengikut kehendak pasaran. Secara tidak langsung, ia turut memberikan kebaikan juga kepada para pengguna,”ujar Madani.
Mengenai dua pengeluar kenderaan nasional iaitu Proton dan Perodua, Madani berkata, berdasarkan model baharu dan perancangan mempelbagaikan varian oleh kedua-dua syarikat berkenaan, MAI meramalkan ia bakal menguasai 52% daripada TIV untuk pasaran domestik. Di mana, kedua-duanya dijangka bakal meningkatkan penguasaan pasaran pada tahun hadapan.
Bagi prospek ini juga, Madani turut berkongsikan pandangannya mengenai polisi liberalisasi Dasar Automotif Negara (NAP) bagi jualan kenderaan nasional. Menurutnya, liberalisasi ini adalah untuk meningkatkan keseluruhan daya saing bagi industri automotif.
Di mana industri yang kompetitif ini akan menyediakan platform yang lebih kondusif bagi setiap pemain industri untuk meningkatkan keupayaan masing-masing, seterusnya menambahkan lagi kredibiliti. Inilah sebab utama Pelan Tindakan NAP 2014 disediakan bagi memperbaiki asas industri selain mengimplementasi strategi bagi pertumbuhan strukturnya.