Nissan umum barisan model konsep untuk Tokyo Auto Salon
Nissan telah mengumumkan barisan model konsep yang bakal dipertontonkan di Tokyo Auto Salon yang bakal berlangsung mulai 9 Januari ini.
Model pertama yang pastinya bakal mengikat perhatian ramai ialah Juke Personalization Advanced Concept dengan simbahan warna kuning menyerlah pada kerangkanya. Ditambah pula dengan padanan rim aloi berwarna hitam, spoiler hadapan dan skirt sisi yang telah diberi gaya baharu.
Model konsep e-NV200 Sports Utility Gear juga bakal ditampilkan, dengan gaya yang lebih sporty dan praktikal. Pemilihan warna hitam dan emas pada bahagian kerangkanya serta padanan rim aloi yang tampak unik membuatkan ia cukup menyerlah.
Nissan turut bakal mempertontonkan model konsep Fairlady Z/370Z NISMO yang dilengkapi dengan pelbagai kit prestasi termasuk kit bad aerodinamik dan tempat duduk Recaro.
Juke Nismo RS juga akan tampil dengan enjin yang telah diberi penambah baikan dan talaan semula suspensi. Model crossover ini juga akan dipadankan dengan tempat duduk Recaro dan sistem stereng berkuasa elektrik yang diberi talaan semula.
Model konsep March NISMO S dan Note NISMO S juga akan mengambil tempat yang tersendiri. Di mana kedua-dua model ini telah diberi penambah baikan pada bahagian enjin, suspensi dan juga brek prestasi tinggi.
Pastinya kehadiran GT-R NISMO GT3 versi 2015 cukup dinanti-nantikan. Ia lebih ringan, lebih aerodinamik dan menawarkan lebih penjimatan bahan api berbanding model sedia ada membuatkan jentera ini LEBIH SUPERB!