Mazda Carol 2015 bakal meluncur di Jepun
Sememangnya di Jepun banyak kenderaan yang memiliki pelbagai bentuk, rupa dan prestasi. Kalau ke sana, mata dan hati bukan setakat terpegun melihat keindahan alam semulajadinya, tetapi juga teruja dengan pelbagai model kenderaan di sana.
Menambahkan kerancakan industri automotif di negara kelahirannya, Mazda telah pun memperkenalkan model Carol 2015 yang tampil dengan rekaan lebih ringkas ditambah pula elemen falsafah kebanggaan Mazda sendiri, Kodo. Pada dasarnya Carol adalah model rebadged bagi Suzuki Alto.
Antara elemen yang ditampilkan ialah kemasukan tanpa kunci dan sistem audio dengan dua pembesar suara. Bagi model spesifikasi tinggi, ia juga dilengkapi dengan cermin tingkap berkuasa, roda stereng yang boleh dicondongkan dan tempat duduk dengan fungsi haba panas.
Dijanakan oleh enjin 660cc yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 49 PS dan tork 58 Nm, ia juga menawarkan varian VVT dengan kuasa 52 PS dan tork 63 Nm.
Mazda Carol ini bakal dijual mulai 30 Januari 2015 dengan harga bermula ¥847,800 (RM24,650).