Polis Johor kutip RM2.4 juta saman trafik warga asing dalam tempoh enam hari
Bernama hari ini melaporkan, Polis Johor berjaya mengutip kira-kira RM2.4 juta hasil pembayaran saman pesalah trafik warga asing dalam tempoh enam hari sejak 27 Dis lepas menerusi ‘Ops Saman Tertunggak Warga Asing’.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata jumlah kutipan tersebut adalah menerusi 15,470 saman tertunggak warga asing dalam operasi khas bersama pasukan trafik Bukit Aman yang berakhir 1 Jan lepas.
“Sejumlah RM1.3 juta dikutip menerusi bayaran tunai dan RM1.1 juta menerusi kad kredit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini Ahad.
Beliau berkata sebanyak 13,529 kenderaan asing diperiksa semasa operasi berkenaan di sekitar bandaraya Johor Baharu dan Lebuhraya Link Kedua, Gelang Patah, bagi mengesan pesalah trafik warga asing yang belum menjelaskan saman.
Katanya operasi saman tertunggak warga asing itu akan diteruskan dari masa ke semasa.
Sumber foto : Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM)