Infiniti Q60 bakal dipamerkan di NAIAS 2015 mulai 13 Jan ini
Setelah desas-desus mengenai Q60 mula diperkatakan sejak beberapa minggu yang lalu, akhirnya Infiniti telah pun menyebarkan foto pertama model konsep ini.
Ia digambarkan sebagai “premium sports coupe” kerana tampil dengan imej yang menarik seperti model konsep Q80 Inspiration yang turut sama menggayakan garisan bumbung yang rendah. Manakala aerodynamic gills yang terletak di belakang gerbang tayar hadapan pula diilham berdasarkan model konsep Q50 Eau Rouge.
Imej yang lebih agresif jelas kelihatan pada bahagian hadapannya, termasuk pada dua gerbang gril hasil inspirasi dengan kerjasama pasukan Red Bull Racing Formula 1. Malah pemilihan lampu utama yang nipis dan garisan penuh berkarakter pada bahagian sisi kerangkanya begitu menyerlahkan lagi imej model konsep Q60 ini.
Ia juga akan digayakan dengan rim aloi bersaiz 21-indi dengan rekaan “jet turbine blade” dengan jejari berwarna hitam dan kekemasan krom serta matte.
Belum bersedia mendedahkan foto bahagian kabinnya, namun Infiniti berkata, tempat duduk jentera ini akan dibaluti material perca ala kulit seperti mana model konsep Q80 Inspiration.
Infiniti akan mendedahkan model konsep ini sepenuhnya pada 13 Januari di North Amerika International Auto Show 2015 ini. Manakala model produksinya dijangka akan bermula di Mexico pada tahun 2017.