Volkswagen Golf R Touch diperkenalkan di CES 2015
Ramai pengeluar kenderaan turut memperkenalkan aplikasi yang bakal diimplemenkan pada model terbaharu mereka di Consumer Electronics Show (CES) 2015 yang sedang berlangsung di Vegas. Secara tidak langsung, ada yang mengambil kesempatan memperkenalkan model konsep baharu masing-masing. Ini termasuklah Volkswagen yang memperkenalkan model Golf R Touch di pentas yang sama.
Model konsep ini dibangunkan dengan beberapa rekaan bahagian kabinnya, secara tidak langsung menggambarkan evolusi sistem hiburan yang diingini oleh Volkswagen yang mahukan alat yang mudah dikawal dan paparan sesentuh besar yang lebih signifikan. Sistem baharu ini juga direka untuk mengurangkan gangguan fungsi dan memberikan kemudahan kawalan antara skrin sesentuh dengan butang pengesan.
Model konseo Golf R Touch ini juga menampilkan skrin sesentuh resolusi tinggi bersaiz 12.8-inci bagi sistem hiburan, bersama Kawalan Pusat bersaiz 8-inci yang terletak dibawahnya bagi memudahkan pemandu mengawal suhu, media dan juga fungsi kenderaan. Selain itu, ia turut menampil Paparan Informasi Aktif bersaiz 12.3-inci yang berfungsi sebagai instrumen digital.
Volkswagen berkata, skrin sesentuh tengah dan Paparan Informasi Aktif memiliki bentangan rekaan yang lebih bersesuaian seperti menyerupai tablet.
Bukan itu sahaja, unit kawalan pada papan pemuka juga menampilkan fungsi paparan kamera 3D yang dipasang antara garisan bumbung. Apabila pemandu menyentuh bumbung, kawalan digital pada bumbung matahari tersebut akan dipaparkan pada skrin bersaiz 12.8-inci tersebut. Apabila mengalihkan tangan dari bahagian hadapan ke belakang, ia akan membuka bumbung matahari dan akan ditutup secara automatik dengan pergerakan bertentangan.
Walau pun belum mengesahkan bila atau model manakah yang akan diimplementasikan dengan peranti secanggih ini, Volkswagen berkata mereka serius untuk membangunkan teknologi ini untuk model produksi mereka pada masa hadapan.