Land Rover memperkenalkan trio terakhir Defender edisi istimewa
Land Rover telah memperkenalkan trio terakhir bagi edisi istimewa Defender yang dijangka bakal tiba di pasaran Eropah tidak lama lagi. Malah produksinya akan berakhir menjelang Disember 2015 ini.
Defender Heritage Edition diinspirasikan dari model awal Land Rover namun diberikan sedikit sentuhan moden dengan simbahan warna Grasmere Green pada kerangkanya yang kontras dengan warna putih pada bahagian bumbung. Juga kelihatan gril yang nampak agak klasik dengan logo grafik HUE 166 sebagai mengimbas kembali plat pendaftaran model pertama pra-pendaftaran Land Rover yang dikenali sebagai “Huey”.
Model ini hanya ditawarkan dalam 400 unit sahaja dengan harga permulaan £27,800 (RM150,216). Ia boleh didapati mulai Ogos ini dengan pilihan kerangka 90 Hard Top, 90 Station Wagon, dan 110 Station Wagon.
Bagi model Defender Adventure Edition pula, ia direka dengan falsafah “go anywhere, do anything” dan didatangkan bersama pelindungan tambahan kerangka serta tayar Goodyear MT/R. Hanya didapati dalam 600 unit sahaja, ia juga menampilkan pelekat khas dan kekemasan kulit untuk bahagian kabin.
Dijangka mula dijual pada Ogos ini dengan harga bermula £43,495 (RM235,093) untuk pilihan 90 Station Wagon 110 Station Wagon.
Manakala model Defender Autobiography Edition pula tampil lebih mewah dan bakal diedarkan mulai April in. Dengan dua tona warna serta material kulit upholstery Windsor sepenuhnya, model ini mampu menghasilkan kuasa dari 122 Hp/360Nm ke 150 hP/400Nm.
Ia hanya diproduksi secara eksklusif sebanyak 80 unit sahaja dengan pilihan kerangka 90 Station Wagon. Bakal dijual pada harga bermula £61,845 (RM334,148).