Ford umum Pelan Mobiliti Pintar & 25 eksperimen global di CES 2015
Ford turut mengambil tempat di pentas CES 2015 yang sedang berlangsung di Las Vegas dengan mengumumkan pelan Mobiliti Pintar Ford yang bertujuan menggunakan inovasi demi membawa syarikat ke satu tahap baharu dari aspek ketersambungan, mobiliti, kenderaan berautonomi, pengalaman pengguna dan data yang besar.
Ford juga mengumumkan 25 eksperimen mobiliti yang dijalankan di seluruh dunia pada tahun ini untuk menguji idea-idea inovatif berkaitan pengangkutan demi menawarkan pengalaman lebih baik kepada para pengguna. Ini termasuklah model-model yang lebih fleksibel dan kolaborasi sosial yang pastinya akan memberi manfaat kepada pelanggan.
“Walaupun kami ada mempamerkan kereta-kereta yang dilengkapi teknologi ketersambungan dan berkongsi pelan mengenai kenderaan berautonomi, sebenarnya kami mempunyai harapan yang lebih besar di CESKami ingin memacu inovasi dalam setiap aspek perniagaan,” kata Presiden dan CEO Ford, Mark Fields.
Di CES, Ford turut mengadakan demonstrasi SYNC® 3, sistem ketersambungan di dalam kereta termajunya. Ia turut menunjukkan kenderaan semi autonomi ciptaannya yang sudah ada di atas jalan raya. Di samping kenderaan berautonomi sepenuhnya yang kini berada dalam fasa pembangunan.
Antara langkah pertama dalam pelan Mobiliti Pintar Ford ialah 25 eksperimen iaitu lapan di Amerika Utara, sembilan di Eropah dan Afrika, tujuh di Asia dan satu di Amerika Selatan. Setiap eksperimen ini direka untuk menguji apakah yang diingini dan diperlukan oleh para pelanggan dalam ekosistem pengangkutan pada masa depan.
14 daripada 25 eksperimen itu merupakan projek yang diterajui oleh Ford. Sementara 11 lagi adalah sebahagian daripada Siri Cabaran Inovasi Mobiliti Ford. Antara eksperimen itu adalah Big Data Drive, Fleet Insights, Remote Repositioning, City Driving On-Demand dan Parking Spotter.
Malah di pentas CES juga, Ford memperkenalkan SYNC 3, sistem komunikasi dan hiburan baharu yang lebih pantas, intuitif dan mudah digunakan bersama maklum balas arahan pemandu yang telah dipertingkatkan.
Ia menggunakan teknologi pengecaman perbualan, skrin sentuh seperti telefon pintar dan grafik yang mudah dibaca akan membantu jutaan pemandu untuk berhubung dengan hidup dan mengawal telefon pintar mereka ketika berada di atas jalan raya.
Selain itu, Ford turut mengetengahkan kenderaan semi autonomi yang sudah berada di atas jalan sekarang serta kenderaan beruatonomi sepenuhnya yang sedang dibangunkan untuk masa depan.
Ciri-ciri yang ada pada kenderaan semi autonomi termasuklah sistem Lane-keeping Assist, kawalan jelajah adaptif, Sistem Bantuan Pra-Pelanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Bantuan Parkir. Manakala sistem Bantuan Kesesakan Lalu Lintas juga akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Kenderaan autonomi sepenuhnya, Ford Fusion Hybrid kini sedang menjalani ujian di atas jalan raya. Kenderaan itu menggunakan teknologi semi autonomi sama yang terdapat pada kenderaan Ford pada hari ini. Ia akan ditambah dengan empat alat pengesan LiDAR untuk menghasilkan peta persekitarannya dalam bentuk 3D pada masa sebenar.