Nissan Titan 2016 bakal muncul di NAIAS 2015
Tinggal kurang lagi seminggu North American International Auto Show (NAIAS) 2015 bakal berlangsung di Detroit, USA. Semakin merancakkan lagi usaha pengeluar kenderaan dunia untuk membuat persiapan terakhir sebelum mempertontonkan model terbaharu/facelift mereka.
Ini termasuklah Nissan yang sedang dalam peringkat akhir sebelum mendedahkan trak pikap Titan 2016 di khalayak ramai. Nissan mendakwa Titan 2016 ini akan menampilkan imej yang lebih “mantap” dan “tahan lama”.
Titan 2016 ini dipadankan dengan enjin 5.0 liter Cummins turbodiesel V8 yang mampu menghamburkan kuasa melebihi 300 hp dan tork setinggi 744 Nm. Malah Nissan turut berkata, enjin ini juga mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, selain menampilkan prestasi yang memberangsangkan.
Walau pun menerusi foto yang tersebar ini dalam keadaan yang ‘belum tersingkap sempurna’, namun kelihatan padanan gril hadapan dan lampu utama yang lebih besar, selain lebih banyak menggunakan kekemasan krom pada bahagian kerangkanya. Malah bampar hadapannya nampak lebih bulat dan lampu belakangnya pula disambung pada spoiler belakang.