Kia Picanto 2015 mula dijual di Korea Selatan
Kia Picanto versi facelift telah pun diperkenalkan di negara kelahirannya, Korea Selatan baru-baru ini. Lebih dikenali sebagai Kia Morning, ia hanya mengalami perubahan kecil termasuklah menampilkan beberapa elemen ekstra, kelainan pada imej luaran dan juga digandingkan dengan enjin pengecas turbo.
Walau pun tidak banyak perubahan pada imej luarannya, namun bahagian hadapannya telah direka semula dengan kehadiran gril “hidung harimau”, gril bawah yang lebih bulat dan lampu kabus yang lebih kecil. Sementara di bahagian belakangnya pula ditampilkan bampar yang lebih sporty.
Pada bahagian kabinnya pula, Kia menerapkan warna baharu dengan pilihan kekemasan, selain menampilkan kawalan kelajuan, lampu pada bahagian kaki, sistem navigasi berasaskan kad SD yang diberi pertambahbaikan, pertambahan beg udara (untuk bahagian lutut pemandu) yang menjadikannya sejumlah tujuh.
Menariknya, Kia Picanto 2015 ini telah dipadankan dengan enjin 1.0 liter pengecas turbo (atau digelar TCI) yang membuatkan ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 106 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 137 Nm antara 1,600 hingga 3,500 rpm. Transmisi CVT yang digabungkan bersama enjin ini dikatakan mampu memberi penjimatan bahan api yang lebih efisien iaitu 14km per liter.