Toyota Vios 2015 alami perubahan yang lebih signifikan
Dua hari yang lalu, UMW Toyota Motor telah mengumumkan model Toyota Vios 2015 sudah mula dibuka tempahan. Untuk model facelift hasil dari Vios generasi ketiga yang dilancarkan pada Oktober 2013 lalu, ia menerima perubahan yang lebih signifikan termasuk menampilkan beberapa elemen baharu dan yang diperbaharui.
Bagi varian Vios 1.5E dan 1.5J, kini ia ditampilkan dengan elemen ekstra iaitu Kemasukan Pintar dan sistem Penghidup Enjin. Ia memberikan kelebihan buat pemiliknya yang tidak perlu lagi menggunakan alat kawalan jauh untuk membuka/mengunci pintu dan menggunakan kunci untuk menghidupkan enjin.
Sama seperti Vios 1.5 TRD Sportivo, kini Vios 1.5G ditampilkan dengan kekemasan dalaman berwarna hitam (sebelum ini ia menampilkan warna kuning air). Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan tempat duduk balutan kulit juga berwarna hitam.
Varian Vios 1.5 TRD Sportivo juga tidak terlepas daripada menerima sedikit suntikan yang lebih segar dengan menampilkan iluminasi berwarna ambar pada bahagian kaki. Bagi Vios 1.5G pula menampilkan warna biru di mana ia memberikan lebih ketenangan.
Selain itu, elemen baharu bagi Vios 1.5G dan 1.5E termasuklah scuff plate pada bahagian door sills. Manakala bagi Vios 1.5E dan 1.5J pula menampilkan kekemasan krom pada pemegang pintu. Pada bahagian belakang pula, jaluran hiasan merintangi antara permukaan but kargo dengan kekemasan krom bagi menimbulkan imej yang lebih elegan.
Vios 1.5 TRD Sportivo turut menawarkan pelindungan sisi tambahan pada tempat duduk sport.Manakala bagi Vios 1.5E dan 1.5J pula menampilkan kekemasan krom.
Walau bagaimana pun, penjana kuasanya masih tidak mengalami sebarang perubahan. Masih dijanakan oleh enjin 1.5 liter VVT-i dengan padanan transmisi Super ECT empat-kelajuan yang mampu memberikan penjimatan bahan api lebih efisien dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang diingini.
Malah UMW Toyota Motor turut menawarkan pilihan aksesori buat Vios 1.5E dan 1.5J iaitu Toyota Premium Security & Solar Film yang merupakan elemen standard bagi Vios 1.5 TRD Sportivo dan 1.5G.
Bagi yang ingin memberikan imej lebih sporty buat Vios yang dimiliki, pilihan 5-piece Aerokit dengan lampu pencahayaan siang turut ditawarkan.
Selain itu, bagi Vios 2015 ini, UMW Toyota Motor turut menawarkan sistem infotainmen yang lebih maju iaitu sistem DVD-AVN dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dengan ketersambungan telefon bimbit pintar yang juga boleh disambungkan pada Internet, WiFi, HDMI, Bluetooth dan Pengesan Suara. Sistem tersebut juga turut disertakan dengan kamera undur.
Pilihan kedua pula ialah sistem DVD-AVX dengan skrin paparan bersaiz 6.1 inci dan sambungan USB, SD, AUX dan Bluetooth. Ia juga didatangkan dengan kamera undur.
Untuk kerangka Vios 2015 ini, ia juga ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu putih, perak metalik, perak metalik medium, hitam dan coklat metalik.
Setiap pembelian Vios 2015, ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun/100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu. Harganya adalah seperti berikut :
1 Comment