MAI kongsi Kajian & Prospek Industri Automotif Malaysia 2014/15
Institut Automotif Malaysia (MAI) telah berkongsi Kajian dan Prospek Industri Automotif Malaysia 2014/15, di mana pada tahun lalu, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Malaysia telah meningkat sebanyak 1.5%, menjadi 665,675 unit, berbanding 655,793 unit pada tahun 2013.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi peningkatan ini termasuklah kehadiran beberapa model baharu yang turut menawarkan penjimatan bahan api dan juga mengutamakan aspek keselamatan, harga yang kompetitif dan pelbagai promosi yang dijalankan oleh pihak pengeluar kenderaan.
Perodua telah meneruskan kegemilangannya dengan mendominasi pasaran iaitu TIV berjumlah 195,000 unit, walau pun mengalami kejatuhan dari 0.5% hingga 29.4%.
Manakala Proton menduduki posisi kedua walau pun turut merosot dari 3.8% hingga 17.4% berbanding tahun 2013 iaitu sebanyak 21.2%. Secara keseluruhan, kedua-dua pengeluar tempatan itu telah meningkatkan jumlah pasaran sebanyak 46.8%.
Sementara itu, UMW Toyota telah menduduki tangga ketiga dengan jumlah TIV sebanyak 102,000 dan penguasaan pasaran sebanyak 15.3%. Diikuti oleh Honda Malaysia dengan 11.6% penguasaan pasaran iaitu meningkatkan sebanyak 3.7% berbanding tahun 2013.
Secara keseluruhannya, jumlah jualan daripada empat pengeluar berkenaan telah mewakili 65% penguasaan pasaran, dengan Perodua Myvi sebanyak 82,000 unit, diikuti oleh Alza 55,000 dan Axia pula 29,000 unit. Manakala Proton Saga pula mencatat jualan tertinggi iaitu 56,000 unit, sementara bagi Persona dan Exora pula berjumlah 21,000 dan 15,000 unit.
Untuk tahun ini pula, MAI telah meramalkan TIV berjumlah 700,000 unit itu akan kekal, di mana ia akan mengalami peningkatan sebanyak 5.1% daripada tahun 2014. Walau bagaimana pun, kemungkinan ia boleh menjangkau sebanyak 750,000 unit sekiranya skim insentif buat pengguna dilaksanakan iaitu melibatkan program pelupusan kenderaan berusia.
Selain itu, terdapat beberapa isu lain yang turut diperkatakan termasuklah peningkatan nilai US Dollar (US$) yang mempengaruhi pertukaran nilai mata wang. Di mana ia dikatakan mampu memberi impak pada pihak pengeluar kenderaan. Walau bagaimana pun, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk memantau keadaan di seluruh rantaian bekalan yang berkaitan.
Isu lain yang turut diperkatakan menerusi Kajian dan Prospek Industri Automotif Malaysia 2014/15 ini termasuklah perkembangan teknologi berkenaan dengan pembuatan enjin dan transmisi, bateri lithium-ion, kenderaan elektrik dan juga pengenalan bahan mentah diesel Euro 4 dan 5 di beberapa buah negeri.