Smart Fortwo Flashlight Cabrio tampil bergaya & tetap comel
Smart telah memperkenalkan model Fortwo Flashlight Cabrio di pentas NAIAS 2015, dan ia dijangka bakal dipasarkan di peringkat global bermula April ini.
Fortwo Flashlight Cabrio ini tampil dengan dua pilihan warna kerangka iaitu hitam atau pun putih kristal matte eksklusif. Bukan itu sahaja, bagi menyerlahkan lagi gayanya, warna jingga lava turut menghiasi bahagian perumah cermin sisi dan sel keselamatan.
Malah gril hadapan berwarna hitam dan rim aloi tiga-jejari berwarna hitam dengan warna lava jingga pada penutupnya secara tidak langsung membuatkan Fortwo Flashlight Cabrio unik.
Model edisi istimewa juga boleh didapati dengan lampu utama projektor H7 yang ditutup dengan latarbelakang titanium serna logo edisi pada bahagian cermin tiga segi.
Untuk bahagian kabin, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit jahitan kontras warna jingga, roda stereng tiga-jejari balutan kulit, karpet lantai tertera perkataan “edition flashlight” dan lain-lain elemen standard.
Jentera comel ini mungkin bakal dipadankan dengan enjin 1.0 liter tiga-silinder yang mampu memberikan kuasa sehingga 71 hp atau enjin pengecas turbo dengan kuasa 84 hp. Smart juga menawarkan model elektrik 55 kW.