SsangYong Tivoli diperkenalkan secara rasmi di Seoul, Korea Selatan
SsangYong telah memperkenalkan model kompak SUV Tivoli di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Syarikat kepunyaan Mahindra ini telah membangunkan produk baharu ini dengan menggunakan platform X100 baharu. Rekaan Tivoli ini banyak dipengaruhi oleh model konsep XIV Air dan XIV Adventure yang pernah dipertontonkan di Paris Motor Show 2014. Ia menampilkan bampar yang agresif, gerbang roda plastik berwarna hitam dan lampu pencahayaan siang LED yang bersepadu dengan lampu utama.
Manakala bahagian dalamnya dilengkapi dengan tujuh beg udara, sistem kawalan suhu zon berkembar, kamera undur, dan sistem hiburan dengan paparan sesentuh serta sambungan Bluetooth.
SsangYong Tivoli dijanakan oleh enjin yang baharu dibangunkan iaitu 1.6 liter e-XGi 160 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 126 hp dan tork 157 Nm. Ia turut dipadankan dengan dua pilihan transmisi sama ada automatik atau manual, kedua-duanya enam-kelajuan. Enjin ini turut menawarkan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi iaitu 8.1L per 100 km bagi manual dan 8.3L per 100 km untuk auto.
Ia bakal mula dijual pada bulan ini di negara kelahirannya, Korea Selatan, terlebih dahulu sebelum memasuki pasaran Eropah, China dan Amerika Selatan.