BMW 1-Series facelift alami perubahan drastik, suntikan kosmetik & lebih fantastik!
BMW turut tidak ketinggalan di dalam memberikan penambah baikan yang lebih komprehensif pada model mampu milik atau asas, 1-Series. Nampak agak subjektif tetapi perubahan drastik dan suntikan kosmetik yang dilakukan terhadap 1-Series ini ternyata mampu memberikan kelainan yang lebih menyerlah buat model ini.
Di mana keseluruhan bahagian hadapannya telah direka semula termasuk menampilkan corong udara yang lebih besar, dengan gril yang hadir dengan bingkai berlainan dan diperkayakan dengan kekemasan krom. Jika model sebelum ini, kehadiran lampu utamanya nampak agak pelik. Namun untuk model facelift ini, ia telah digantikan dengan kluster yang lebih menarik, mempunyai konfigurasi bulat berkembar dan kini didatangkan secara standard lampu pencahayaan siang LED.
Malah BMW turut menawarkan aksesori tambahan iaitu lampu utama LED sepenuhnya (termasuk indikatpr dengan fungsi High Beam Assistant dan lampu kabus LED dengan kos tambahan.
Profil sisinya pula menunjukkan gerbang roda dan garisan melintang baharu yang membuatkan kereta ini kelihatan lebih lebar. Sementara pada bahagian belakangnya juga menampilkan beberapa ciri baharu termasuklah lampu utama yang disambungkan pada trunk lid dengan grafik berbentuk L serta lampu kabus dengan teknologi LED.
Memasuki bahagian kabin, model BMW 1-Series facelift ini dipadankan dengan uphosltery baharu sebagai pilihan, skrin paparan bersaiz 6.5 inci dan unit Kawalan yang dipasang di bahagian konsol tengah. Untuk pilihan yang lebih variasi, ia turut menawarkan sistem navigasi dan unit Kawalan yang lebih besar bersama skrin bersaiz 8.8-inci.
BMW turut menaik taraf butang kawalan dengan lingkaran krom disekelilingnya. Sementara papan kekunci bagi radio dan sistem kawalan suhu pula dengan kekemasan hitam berkilat. Sistem suhu dua zon turut menampilkan lampu putih untuk mod siang dan jingga pada mod malam.
Varian tiga- dan lima-pintu bagi 1-Series untuk menerima perubahan enjin seperti berikut :
116i dengan 1.5 liter 3-silinder (109 HP & 180 Nm)
118i dengan 1.6-liter 4-silinder (136 HP & 220 Nm)
120i dengan 1.6-liter 4-silinder (177 HP & 250 Nm)
125i dengan 2.0-liter 4-silinder (218 HP & 310 Nm)
116d & 116d Efficient Dynamics Edition dengan 1.5-liter 3-silider (116 HP & 270 Nm)
118d & 118d xDrive dengan 2.0-liter 4-silinder (150 HP & 320 Nm)
120d & 120d xDrive dengan 2.0-liter 4-silinder (190 HP & 400 Nm)
125d dengan 2.0-liter 4-silinder (224 HP & 450 Nm)
Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu M135i / M135i xDrive, ia dipadankan dengan enjin 3.0-liter enam-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 326 Hp dan tork setinggi 450 Nm. Ia menggunakan sistem pacuan-belakang dan boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.1 saat sahaja bagi transmisi manual enam-kelajuan dan 4.9 saat bagi kotak gear Steptronic lapan-kelajuan. Varian ini juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Bagi model yang dilengkapi dengan xDrive, ia boleh dipacu lebih pantas iaitu 4.7 saat.