Isuzu Dura Mission 2015 cabaran off-road eksplorasi barat Sabah
Ini merupakan jemputan kali kedua untuk memandu uji Isuzu D-Max V-Cross setelah ia diperkenalkan di pasaran pada Jun yang lalu. Kali pertama memandu uji varian baharu bagi D-Max generasi kedua hanya melibatkan laluan biasa dan lebuh raya dari Ara Damansara menuju ke Pulau Pinang.
Kalau mahu mengetahui kehebatan D-Max V-Cross dilenjan di jalan biasa termasuk di kawasan bandar, sila klik DI SINI.
Sebab kali ini, Infokereta.com mahu berkongsi cerita tentang pengalaman mengendalikan D-Max V-Cross ini merentasi laluan off-road pula. Tidak dinafikan, pengalaman penulis merentasi laluan off-road sangatlah cetek dan diakui kemahiran mengendalikan jentera trak pikap juga masih kurang dari 30%.
Namun Infokereta.com berbesar hati menerima jemputan dari Isuzu Malaysia bagi menyertai Isuzu Dura Mission 2015, iaitu penggembaraan jalanan di Sabah pada 15 Jan yang lalu. Ia merupakan penganjuran kali keempat selepas beberapa siri Isuzu Dura Mission yang lalu termasuk merentasi Bangkok-KL pada tahun 2007, Ba’kalalan, Sarawak (2009) dan Sandakan-Tawau,Sabah (2012).
Selama tiga hari, Infokereta.com bersama sekumpulan wakil media tempatan menguji kehebatan D-Max V-Cross ini yang merangkumi 60% laluan off-road.
Mujur juga penulis digandingkan dengan rakan media permotoran dari akhbar Harian Metro yang boleh dikatakan cekap mengendalikan trak pikap dan ada pengalaman merentasi laluan off-road.
Bahkan sepanjang Isuzu Dura Mission 2015, kami diberi peluang mengendalikan jentera D-Max V-cross 3.0L transmisi manual. Di mana sebanyak 10 unit jentera D-Max V-cross 3.0L yang terlibat sebagai kereta media, hanya tiga unit sahaja transmisi manual.
Hari pertama penggembaraan ini, kami bertolak dari Hotel Grandis yang terletak di tengah bandar Kota Kinabalu. Seawal jam 8.30 pagi, konvoi Isuzu Dura Mission 2015 termasuk diiringi dengan 8 kereta krew Isuzu dilepaskan oleh Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida yang juga turut menyertai konvoi ini.
Bermula dengan perjalanan merentasi jalan biasa sepanjang 133 km sebelum konvoi memasuki laluan off-road dari daerah Kota Merudu. Di sinilah cabaran bermula apabila konvoi melalui jalan off-road yang boleh dikatakan agak mencabar terutamanya yang baru mencuba pemanduan sebegini.
Biar pun bukan dikategorikan sebagai ekstrem, namun laluan off-road ini memang menguji kemahiran mengendalikan trak pikap sebegini. Dalam erti kata lain, ia turut mencabar kredibiliti D-Max V-Cross sendiri.
Ketika melalui mendaki bukit di laluan biasa, enjin berkuasa 3.0L yang bergabung dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS) mampu memuntahkan kuasa yang diingini. Tidak perlu kerahan tenaga yang berlebihan kerana ia masih gagah mendaki laluan berbukit dengan mudah.
Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 177 PS pada 3,600 rpm dan puncak tork 380 Nm pada 1,800 hingga 2,800 rpm.
Apabila enjin 3.0 liter bergabung dengan kotak transmisi manual lima kelajuan, terasa ledakan kuasa yang dimuntahkan oleh jentera ini cukup dirasai menggetarkan seluruh sanubari. Membuatkan semangat makin membuak-buak dan tidak sabar untuk memasuki laluan off-road.
Walau bagaimana pun, diakui bukan mudah untuk mengendalikan jentera manual, lambat respons terhadap pedal pendikit-klac-brek, boleh mati enjin dibuatnya. Dalam masa yang sama, pengendalian stereng juga perlu dilakukan secara lebih berhati-hati agak jentera tidak ‘terperangkap’ pada lopak atau pun tersasar haluan ke belukar mahu pun gaung.
Hujan renyai-renyai dan sekejap lebat, mengiringi konvoi membuatkan konsentrasi pemanduan harus dipertingkatkan. Laluan penuh berlecak, berlumpur, licin serta banyak lopak membuatkan jentera mudah hilang kawalan jika tidak berhati-hati sewaktu mengendalikannya. Apatah lagi dengan jalan tanah merah, naik bukit dan kemudian turun semula, namun tidak pula berasa bosan atau tertekan.
Dengan D-Max V-Cross ini, mod pemanduan yang bersesuaian dengan keadaan jalan boleh dipilih dengan mudah. Hanya perlu menukar tombol pilihan 2H untuk jalan biasa, 4H untuk pemanduan empat roda di atas permukaan jalan yang tidak rata dan 4L ketika melalui jalan berlumpur, berlopak, licin, berbatu dan berpasir.
Menurut Isuzu, dalam kelajuan 100 km/j, mod 2H ke 4H boleh ditukarkan begitu sahaja. Melainkan ingin menukar ke mod 4L, jentera perlu dihentikan seketika dan perlu berada dalam keadaan ‘free gear’. Selepas menukar ke 4L, baru jentera digerakkan kembali bagi melayan laluan off-road.
Dengan mod 4L ini, pengendalian jentera lebih senang mengunakan antara gear satu dan dua sahaja dengan kelajuan antara 20-30 km/j mengikut keadaan laluan. Walau pun melalui laluan sukar ini, namun tidak dinafikan D-Max cukup pantas akrab dengan kehendak pemanduan. Ia seakan memahami bila mana mahu bertindak agresif, lasak atau pun lebih ‘slow and steady’. Prestasinya juga memang tidak pernah menghampakan.
Malah roda stereng juga cekap memberikan respons, sangat membantu dalam pandu uji sebegini. Begitu juga dengan pedal pendikit dan pedal brek, kedua-duanya saling responsif.
Selepas hampir dua jam merentasi laluan-off ini dengan perjalanan sejauh 29 km, konvoi disajikan dengan pemandangan penuh memukau dari atas bukit apabila kelihatan Pantai Teringai yang terletak di daerah Kota Marudu yang berada di Pantai Barat utara Sabah. Cukup segar mata memandang melihat keindahan pantai tersebut yang masih bebas dari pencemaran dan belum dimajukan.
Sampai sahaja di perkampungan berhampiran, kami berhenti seketika bagi menikmati hidangan makan tengahari. Kemudian, tanpa membuang masa, kami meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Mengayau yang terletak di Kudat.
Untuk keluar dari daerah berkenaan, kami juga terpaksa meredahi sebatang sungai dengan kedalaman hampir 1 meter yang mampu menenggelamkan setengah badan D-Max. Air yang agak deras membuatkan pemanduan perlu berganda lebih berhati-hati. Ketika ini, khidmat brek tidak diperlukan. Hanya guna gear dua dan tekan pedal pendikit perlahan-lahan untuk menempuhi arus sungai sehingga selamat ke seberang.
Dalam perjalanan tersebut, kami juga sempat singgah seketika di Rumah Panjang Rungus bagi menikmati hidangan minum petang dan menonton persembahan tarian tradisional masyarakat setempat.
Disebabkan cuaca yang tidak begitu mengizinkan, kami tidak dapat melihat matahari terbenam sewaktu sampai di Tip of Borneo, Simpang Mengayau dalam jam 6 petang, selepas menempuh perjalanan sejauh 72 km dari Kota Marudu.
Hari kedua, konvoi bergerak seawal jam 8 pagi untuk menuju ke daerah pedalaman Mesilau pula. Dari Simpang Mengayau, kami melalui jalan biasa sejauh 146 km sebelum memasuki laluan off-road. Walau pun hanya jalan biasa, rasanya ramai yang sedia maklum keadaan jalan di negeri Sabah yang kebanyakan daerahnya masih terpinggir dari arus kemajuan. Rasa tersagat juga hati melihat keadaan di sana dengan jalan yang tidak berturap sepenuhnya dan masih banyak menggunakan jalan berbatu kerikil yang ‘kaya’ dengan lopak dan lubang.
Memasuki laluan off-road untuk ke daerah Gandukut, kami disajikan dengan pemandangan bukit bakau yang turut dijadikan lapangan sasar oleh tentera bagi menjalani latihan menembak dan bom. Banyak papan tanda amaran diletakkan di sepanjang jalan, dan ini antara pemandangan ‘luar biasa’ yang disajikan di samping keindahan alam ciptaan Yang Maha Berkuasa.
Sepanjang laluan off-road ini, tidaklah begitu banyak halangan yang terpaksa ditempuhi seperti mana hari sebelumnya. Cuma kemahiran memandu cukup teruji bila mana harus melalui parit berbentuk V. Sebelum semua bersedia merentasi laluan tersebut, krew bersama sebahagian media bekerjasama mencangkul tanah-tanah dan batu bagi membuatkan laluan itu ‘lebih sempurna’.
Biar pun sebenarnya di sebelah parit tersebut, ada laluan alternatif, namun Isuzu sengaja mahu ‘mencipta keseronokan’ yang mampu membangkitkan keterujaan untuk mencabar diri peserta konvoi melalui parit tersebut.
Dengan kedalaman lebih kurang 2 meter dan kecuraman antara 47 hingga 50 darjah, boleh dikatakan ini merupakan laluan paling mencabar sepanjang konvoi ini. Penulis akui, mengigil seketika sewaktu dicabar oleh rakan pemandu untuk mengendalikan jentera merentasi parit ini. Namun cabaran tersebut disahut dan atas bantuan rakan pemandu yang memberikan tunjuk ajar, jentera kami hampir-hampir berjaya merentasi parit tersebut tanpa perlu ditarik oleh Monster atau jentera pengiring.
Namun disebabkan ‘nervous break down’, jentera kami tersangkut sedikit di antara batu besar dan akhirnya terpaksa juga ditarik ke atas. Seperti mana yang semua jentera konvoi lain yang juga terpaksa ditarik oleh Monster.
Sebenarnya mengendalikan transmisi manual tidaklah sesenang seperti kawalan automatik kerana kawalan kaki pada pedal pendikit-klac-brek perlu serentak dan sepadu dengan kawalan tangan pada stereng. Namun sebenarnya ia tidaklah begitu sukar kerana D-Max V-Cross ini cukup memahami keadaan.
Menggunakan gear dua tetapi bila sedikit lambat memberikan respons antara pedal-pedal berkenaan, enjin boleh mati. Dan untuk mengimbangi semula antara pedal pendikit dan klac juga sebenarnya memerlukan kemahiran tersendiri. Apa pun ini merupakan antara pengalaman pemanduan yang cukup berharga buat penulis!
Sampai sahaja di atas bukit Gandukut, konvoi berehat sebentar selepas menempuhi laluan off-road sejauh 18 km.
Kemudian kami meneruskan perjalanan dari Sungai Tempusuk ke Mesilau dengan jarak perjalanan sejauh 98 km dan kali ini ia melibatkan jalan biasa. Hujan renyai dan suhu sejuk hampir 16 darjah celsius menyambut kedatangan kami di Mesilau. Malah jalan raya yang basah dan licin juga membuatkan pemanduan harus lebih berhati-hati mendaki laluan berbukit menuju ke Mesilau Nature Resort.
Hari terakhir di Sabah, hanya melibatkan pemanduan lebih santai sahaja iaitu dari Mesilau ke Kiulu sejauh 79 km. Namun kabus yang agak tebal di Mesilau membuatkan semua pemandu harus lebih berhati-hati menuruni bukit. Kemudian dari Mesilau melalui Kundasang, jalan yang agak sempit dengan lori-lori besar bergerak perlahan membuatkan kesabaran sedikit teruji.
Bila berpeluang memotong kenderaan terbabit, D-Max V-Cross cukup ligat menghamburkan kuasa. Momentumnya tidak tergugat dan tiasa istilah kenderaan terasa berat ketika mlalui jalan berbukit.
Malah olengan badannya kurang dirasai biar pun melalui permukaan jalan yang beralun, tidak rata dan juga laluan berselekoh.
Dengan sistem suspensi yang digandingkan iaitu Indepedent Double Wishbone bersama gegelung spring dan penstabil pada bahagian hadapan serta untuk belakang pula menggunakan Semi-Elliptical Leaf Spring, menjadikan pengendalian D-Max V-Cross ini dirasai cukup mantap.
Ternyata kehadiran rekaan falsafah yang begitu inovatif seperti i-GRIP (Isuzu Gravity Responsive Intelligent Platform), membuatkan V-Cross ini mampu memperkukuhkan lagi kemantapan dan kestabilan jentera tanpa kompromi.
Satu lagi pencapaian yang cemerlang buat model terbaharu D-Max ini.
Selepas menjalani aktiviti santai di Kiulu, perjalanan diteruskan menuju ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu iaitu sejauh 66 km. Juga melibatkan jalan raya biasa dan pemanduan lebih santai. Secara keseluruhan perjalanan Isuzu Dura Mission 2015 ini melibatkan perjalanan sejauh 562 km dan dalam masa tiga hari itu, tangki minyak jentera D-Max V-Cross tidak diisi semula dan masih berbaki dua bar.
Secara konklusinya, jentera D-Max V-Cross sudah terbukti kehebatannya dalam merentasi laluan biasa dan juga off-road. Biarpun ia menduduki tempat ketiga dalam senarai trak pikap paling popular di Malaysia, namun Isuzu sebenarnya menang dari sudut mekanikal, ketahanan dan kemantapan jenteranya. Jarang sekali menghampakan, selain ternyata mampu memberikan pemanduan dan pengendalian yang cukup selesa, penuh keterujaan dan terbaik.
Isuzu D-Max V-Cross MT/AT