Volkswagen Golf GTD dipamerkan di Geneva
Nampak gayanya famili Golf bakal berkembang setelah Volkswagen mendedahkan model Golf versi GTD (Gran Turismo Diesel). Ia dikatakan bakal dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp pada 3,500 rpm dan berkeupayaan menghasilkan tork setinggi 380 Nm di antara 1,750 hingga 3,250 rpm.
Golf GTD wagon ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.9 saat iaitu 0.4 saat perlahan berbanding GTD hatchback. Walau bagaimana pun kelajuan maksimumnya masih belum diperolehi tetapi ia dikatakan rendah sedikit daripada versi hatchback yang mampu mencecah sehingga 230 km/j.
Model ini diberikan imej yang lebih menarik dengan penampilan bampar hadapan dan belakang GTD, gril radiator ‘sarang lebah’, dan lampu belakang yang cukup bergaya. Malah ia juga dipadankan dengan rel bumbung berwarna hitam, ekzos berkembar krom, rim aloi Curitiba bersaiz 17-inci (turut ditawarkan pilihan rim aloi Nogaro 18-inci), lampu utama bi-xenon dan suspensi yang telah direndahkan 15mm berbanding model standard.
Pada bahagian kabinnya, tempat duduk sport balutan Clark tartan menjadi pilihan serta penutup pedal keluli dan tombol gear dengan gaya bola golf turut menyerlahkan lagi gaya sporty model ini.Selain itu, dekorasi paten kotak berwarna hitam dan kekemasan aluminium turut menghiasi ruang kabinnya.
Volkswagen Golf GTD telah mula dibuka tempahan di Jerman dengan harga €31,975 dan ia juga dijadualkan bakal dipertontonkan di Geneva Motor Show 2015 awal Mac ini.