Renault Kadjar kombinasi imej segar, mantap & sporty
Renault antara pengeluar kenderaan global yang sedang berlumba-lumba mahu memperkenalkan model baharu di Geneva Motor Show yang bakal berlangsung pada awal Mac ini. Terbaharu, Renault telah mengesahkan bakal mempertontonkan model SUVcrossover yang diberi nama Kadjar di pentas pertunjukan automotif berkenaan.
Renault Kadjar dijangka bakal menembusi pasaran Eropah, beberapa negara Afrika dan Mediterranean Basin pada musim panas ini. Malah selepas itu, ia juga bakal tiba di United Kingdom dan China.
Pengeluar kenderaan dari Perancis ini berkata, Kadjar direka dengan gaya luaran yang lebih mantap dan agresif. Sementara imej yang lebih sporty pula dipilih bagi menghiasi ruang dalamannya. Malah ruang dalamannya juga dikatakan lebih “pintar dan selesa” dengan bentuk baharu berbanding model Renalut yang lain.
Renault juga mensasarkan pelanggan yang mahu bertukar daripada Megane atau Captur bagi Kadjar ini. Malah ia juga menjadi model Renault pertama yang bakal diproduksi di China.
SUV crossover segmen-C ini berkongsi DNA dengan Captur, sementara rekaannya banyak diilhamkan daripada model konsep DeZir termasuk menampilkan garisan yang lebih lembut, dengan lampu utama LED serta bahagian belakangnya lebih mirip dengan model Clio. Kadjar juga akan dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 19-inci, material dengan kualiti bertaraf tinggi dan sistem multimedia R-Link 2.
Kadjar akan ditawarkan sama ada dengan konfigurasi pacuan empat- atau dua-roda dan perician lebih lanjut mengenainya akan didedahkan di Geneva Motor Show nanti.