Koenigsegg bakal tayang model misteri Regera & Agera RS di Geneva Motor Show
Dalam diam-diam Koenigsegg telah menyediakan dua jentera untuk ditayangkan di Geneva Motor Show pada awal Mac ini.
Agera RS iaitu Agera R versi prestasi tinggi, menampilkan enjin 5.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 1099 hp dan tork setinggi 1200 Nm. Jentera super kencang ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 2.9 saat, 0-200 km/h dalam 7.5 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 390 km/j.
Malah bagi pentas pertunjukan automotif yang sama, Koenigsegg turut mengesahkan bakal mempertontonkan model misteri Regera. Walau pun masih enggan mendedahkan perihal terperinci, namun Koenigsegg mengesahkan ia merupakan model ‘megacar’ yang mungkin boleh menjana kuasa sekurang-kurangnya 1 megawatt atau 1,341 hp!
Kedua-dua jentera ini akan ditampilkan secara perdana buat pertama kalinya pada sidang media yang bakal berlangsung pada 3 Mac ini di Geneva Motor Show.