Perodua Axia sudah cecah 82,000 unit tempahan
Sehingga 6 Februari lalu, Perodua telah berjaya mencatatkan tempahan sebanyak 82,000 unit bagi model terbaharunya, Axia. Sejak dibuka tempahannya pada 15 Ogos yang lalu, 32,000 unit daripada jumlah itu telah pun didaftarkan dan selebihnya masih dalam proses penghantaran dan pembikinan, menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh sewaktu ditemui selepas majlis makan tengahari sempena Tahun Baru Cina bersama pihak media semalam.
“Sehingga kini, kami sedang berusaha untuk menghasilkan model Axia yang sudah ditempah dan untuk stok para pengedar. Walau pun terpaksa berhempas pulas untuk menyiapkannya, namun sambutan yang amat memberangsangkan ini menggembirakan kami. Malahan ia turut membuktikan produk kami diterima oleh rakyat Malaysia,”ujar Aminar.
Pada bulan Januari 2015 sahaja, Perodua berjaya menjual 16,000 unit modelnya dan telah mensasarkan jualan sebanyak 208,000 unit keseluruhannya untuk tahun ini.
Selain itu, Perodua sedang mempertimbangkan untuk menjual kenderaan model terpakai sendiri dan sedang mencari lokasi yang bersesuaian di Lembah Klang untuk pusat jualan kenderaan Perodua terpakai, yang disasarkan pada suku ketiga tahun ini.
Malah dalam sidang media ini juga, Aminar turut memberikan bayangan Perodua bakal melancarkan model terbaharu tidak lama lagi, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.