Cabaran 4×4 ekstrem bersama Ford Lanun Darat Adventure
Para pemilik dan peminat jentera lasak Ford diberi peluang untuk memperbaiki kemahiran memandu di laluan off-road apabila mereka perlu menempuh laluan sukar di Tamparuli, Sabah, dalam acara tahunan pengembaraan Lanun Darat 2015 yang telah diadakan selama dua hari pada 7 dan 8 Februari lalu.
Dianjurkan oleh Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar kenderaan Ford di Malaysia, ekspedisi itu dilaksanakan dengan melalui dua lokasi pemanduan off-road. Lebih 80 orang peserta dibawa menempuh cabaran tersebut yang diketuai oleh jurulatih keselamatan berpengalaman, Paul Si. Konvoi itu melibatkan 24 buah trak pikap Ford Ranger dan 24 SUV Everest.
Direka khas untuk pelanggan-pelanggan dan peminat Ford, acara tahun ini sarat dengan aktiviti yang mencabar serta menyeronokkan bagi menyerlahkan ketahanan trak pikap Ranger.
“Lanun Darat merupakan salah satu daripada program yang kami anjurkan untuk bertemu para pelanggan dan melengkapkan mereka dengan kemahiran pemanduan demi memanfaatkan sepenuhnya prestasi kenderaan masing-masing,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Lee Eu San.
Pengembaraan Lanun Darat 2015 bermula dari bilik pameran SDAC di Kota Kinabalu, dengan laluan off-road pertama bertempat di Tamparuli. Di sana, para peserta mempelajari teknik-teknik aktiviti off-road yang selamat dalam satu sesi praktikal bersama Paul Si, sebelum pulang ke Shangri-La Rasa Ria Resort. Hari kedua pula melibatkan satu lagi sesi off-road di Sepanggar, sebelum konvoi kembali ke bilik pameran.
Sesi latihan yang ditawarkan ini memberi peluang terbaik untuk menguji kemampuan Ranger beraksi di laluan off-road. Di samping mengetahui kombinasi ciri yang menerajui pasaran seperti sistem keselamatan, kuasa, kapasiti membawa beban, menunda dan keupayaan mengharung air. Semua ciri ini berjaya menjadikan Ranger trak pikap kedua paling laris di Malaysia.
Konvoi ini melibatkan pelbagai varian dalam rangkaian penuh Ranger, daripada model asas XL sehinggalah model Wildtrak yang diminati ramai serta Ranger Double Cab 4×4 3.2L XLT Hi-Rider yang baru sahaja diperkenalkan.