Renault Captur Pure edisi istimewa dengan enjin Energy dCi 110 diperkenalkan di Perancis
Memilih untuk diperkenalkan di negara kelahirannya sendiri, kemunculan Renault Capture Pure edisi istimewa merancakkan lagi industri automotif di Perancis.
Renault Capture Pure edisi istimewa dipadankan dengan enjin Energy dCi 110 yang lebih berkuasa yang mampu menghamburkan 110 hp dan tork 260 Nm iaitu lebih 20 hp dan 40 Nm berbanding dengan enjin 1.5-liter dCi 90 pada model sebelum ini.
Enjin ini juga mematuhi standard Euro-6 dan bekerjasama dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 3.7 liter untuk 100 km dan pelepasan CO2 hanya 98 g/km.
Tentang prestasinya, Renault Captur Energy dCi 110 ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya catatan 11.03 saat dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 175 km/j.
Selain itu, apa yang membuatkan model ini tampil istimewa ialah pelekat khas pada bahagian bumbungnya, perumah cermin sisi yang unik dan warna istimewa Cassiopée Grey yang digabungkan dengan warna Etoilé Black pada bahagian bumbung.
Bukan itu sahaja, pada bahagian dalamannya pula, logo wajib “Pure” pada beberapa bahagian termasuk karpet, balutan kulit upholstery berwarna hitam arang dan kelabu turut menghiasa ruang kabin. Malah ia turut menampilkan sistem hiburan R-Link dan kamera undur.
Renault Capture Pure edisi istimewa ini dijual pada harga bermula €25,100 (RM102,290).