Alfa Romeo MiTo Racer tampil lebih matang
Alfa Romeo bakal membawakan model MiTo Racer baharu ke Geneva Motor Show awal Mac ini.
Tampil dengan rekaan yang lebih matang dan bergaya, MiTo Racer lebih menarik dengan kekemasan krom sutera, perumah cermin sisi yang unik dan rim aloi bersaiz 17-inci. Bukan itu sahaja, bahagian belakangnya turut dihiasi dengan ekzos krom dan pelekat bercorak bendera kotak-kota pada bahagian bumbung.
Rekaan dalamannya sekadar biasa-biasa sahaja tetapi sedikit menarik dengan penampilan tempat duduk kulit berwarna coklat gelap dengan tekstil kelabu. Bahagian perehat kepala juga disulami perkataan Alfa Romeo dengan jahitan kontra berwarna coklat. Pada alas kaki juga tertera perkataan yang sama.
Selain itu, papan pemuka “Street” dan sistem hiburan UConnect dengan skrin paparan bersaiz lima-inci turut ditampilkan.
MiTo Racer dijangka dijual mulai April ini dan menawarkan beberapa variasi enjin daripada 1.3 liter JTDM dengan kuasa 85 PS hingga 1.4 liter MultiAir berkuasa 140 PS.