Volkswagen Sport Coupe Concept GTE memperagakan imej yang lebih padu & minimalis
Ia boleh digambarkan sebagai model konsep coupe empat-pintu berteknologi tinggi yang dibangunkan menerusi platform MQB, Volkswagen Sport Coupe Concept GTE ini tampil dengan rekaan yang anggun serta imej yang lebih segar.
Bahagian hadapannya telah dilengkapi dengan imej yang lebih padu, terutamanya pada lampu utama dan gril radiator. Malah bahagian hudnya pula kelihatan memanjang dan garisan bumbungnya pula agak landai.
Manakala paip ekzos berkembar pula tersambung pada bahagian bamparnya menyerlahkan lagi penampilannya. Ia juga dipadankan dengan rim aloi lima-jejari bersaiz 21-inci yang menampakkan lagi sisi sporty model konsep ini.
Model konsep ini berukuran 4869mm panjang, 1864mm lebar dan 1407mm tinggi. Manakala jarak rodanya bersaiz 3020mm. Volkswagen turut mengesahkan kapasiti kargo bagi Volkswagen Sport Coupe Concept GTE ialah 480 liter.
Manakala bahagian kabinnya pula tampil lebih minimalis dan ergonamik dengan kehadiran bumbung matahari dan ruang dalaman termasuk ruang kaki serta ruang kepala yang mengagumkan. Beberapa butang dan tombol kawalan konvensional telah digantikan dengan paparan skrin sesentuh bersaiz besar yang turut bertindak sebagai butang kawalan.
Volkswagen Sport Coupe Concept GTE ini dipadankan dengan penjana kuasa plug-in hybrid dengan kombinasi V6 TSI bersama dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 380 Hp. Ia turut membolehkan model konsep ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.2 saat sebelum memecut dalam kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Memandu model konsep ini dalam mod elektrik, ia boleh dipacu sehingga 50 km, sementara jika mod hibrid pula, ia mampu memberikan penjimatan bahan api hanya 2L/100 km.