MINI Countryman hadir dengan model edisi terhad Park Lane
MINI turut mencuri tumpuan apabila menayangkan model Countryman Park Lane di Geneva Motor Show.
Model edisi terhad ini turut menerima pelbagai suntikan kosmetik untuk memberikan kelainan berbanding dengan Countryman yang asal. Dibayangkan sebagai model Countryman yang paling tinggi kelasnya, edisi Park Lane ini ditampilkan dengan warna badan metalik Earl Grey bersama kombinasi Oak Red pada beberapa bahagian termasuk perumah cermin sisi, bumbung, jaluran pada hud, belakang dan bawah sisi.
MINI Countryman Park Lane turut dipadankan dengan rim aloi Turbo Fan Dark Grey bersaiz 18-inci dan kit MINI ALL4 Exterior yang membawakan elemen berwarna perak.
Menjengah bahagian kabinnya, MINI mengaplikasi perkataan “Park Lane” pada bahagian papan pemuka dan ambang pintu. Sementara itu kekemasan Oxide Silver pula kelihatan pada pelapik pintu dan papan pemuka. Pada sekitar konsol tengah pula, terdapat imej jaluran melintang berwarna kelahu dan ia juga dikombinasi dengan tema Carbon Black.
Dijadual untuk dipasarkan mulai Julai ini, MINI Countryman Park Lane akan ditampilkan dengan empat pilihan enjin dan pacuan semua-roda ALL4. Dua enjin petrol akan memberikan kuasa 122 Hp dan 190 Hp, manakala dua enjin diesel pula ialah 112 Hp dan 143 Hp.