BMW 520d Sport edisi terhad diperkenalkan sempena BMW Malaysian Open 2015
Petang ini, BMW Group Malaysia telah pun melancarkan BMW 520d Sport baharu pada acara perlawanan tenis profesional paling berprestij di Malaysia, BMW Malaysian Open 2015 yang sedang berlangsung.
Debut BMW 520d Sport edisi terhad yang menampilkan enjin diesel empat silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo serba baharu tersebut dijangka menambah baik keseimbangan yang sudahpun luar biasa di antara prestasi dan penjimatan bahan api pada model terlaris di dunia itu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Menyerlah, memiliki kecekapan premium dan dinamik pemanduan sebenar sememangnya kelebihan model BMW 5 Series. Pencapaian BMW 5 Series dalam aspek-aspek ini telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan status selaku model paling laris dalam kelas eksekutif premium. Menerusi pengenalan BMW 520d Sport baharu, kami yakin bahawa sedan premium ini akan terus menerajui segmennya, selain menawarkan pemanduan lebih sporty kepada para pelanggan kami.”
Rekaan BMW 520d Sport baharu ditonjolkan menerusi gayaan sporty sebuah sedan BMW yang sempurna bersama tapak roda dan hud yang panjang, unjuran belakang pendek, aft-set greenhouse serta garis bumbung seperti sebuah coupe. Reka bentuk badan yang kelihatan seperti baji bagi memberi karekter yang lebih sporty dan bergerak ke hadapan.
Prestasi BMW 520d Sport baharu diserlahkan lagi menerusi pakej luaran M Aerodynamic. Gril kidney adalah menegak dan kelihatan menunduk ke hadapan jika dilihat dari beberapa sudut. Dengan rekaan lingkungan roda penuh kuasa, ia nyata memberikan penampilan yang kuat dan karismatik pada bahagian hadapannya. Penampilan yang sporty itu kemudian disempurnakan padanan rim aloi ringan berjejari-kembar bersaiz 18 inci.
BMW 520d Sport baharu juga dipasang dengan lampu utama LED Adaptif generasi terkini yang memberi suluhan cahaya yang jelas dan terang dalam apa jua kondisi, selain mengikuti arah jalan yang bengkang-bengkok. Digabungkan dengan ciri bantuan lampu tinggi, teknologi canggih ini menawarkan kualiti pencahayaan jalan yang optimum apabila ia mampu merendah dan meninggikan kedudukan cahaya lampu secara automatik, bergantung kepada kondisi cahaya ambien serta keadaan trafik demi memastikan tahap pandangan yang terbaik ketika memandu pada waktu malam.
Talaan terbaik ke atas chasis BMW 520d Sport baharu dibuat bagi memastikan kuasa enjin mampu menawarkan prestasi dinamik dan pemanduan yang selesa. Menerusi Kawalan Peredam Dinamik (Dynamic Damping Control), BMW 520d Sport baharu menawarkan talaan yang sesuai untuk semua permukaan jalan raya dan corak pemanduan menerusi butang kawalan Driver Experience Control.
Dilengkapi dengan enjin diesel empat silinder generasi baru, BMW 520d Sport baharu bukan sahaja mampu menghasilkan kuasa ekstra dan tujahan kuasa yang serta-merta, malah ia menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik. Sedan premium ini kini mampu menghasilkan kuasa sehingga 190hp berbanding sebelum ini 184hp. Prestasi tork juga meningkat kepada 400Nm berbanding 380Nm sebelum ini.
Kereta ini mencatat pecutan 0-100 km/j dalam tempoh cuma 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 233km/j. Tujahan kuasa yang mengagumkan ini digabungkan dengan purata penggunaan bahan api cuma 4.1 l / 100km dan emisi C02 hanya 109 g/km. Ini merupakan penjimatan bahan api hampir 9% berbanding enjin terdahulu yang ada pada BMW 520d.
Semua penambahbaikan pada BMW 520d Sport baharu ini menjadi bukti kukuh terhadap keberkesanan kerja-kerja pembangunan yang dilaksanakan oleh pasukan jurutera BMW serta fokus untuk mengoptimumkan pembakaran enjin dan komponen-komponen di bawah strategi BMW EfficientDynamics.
Ruang dalaman BMW 520d Sport baharu menyerlahkan satu suasana sporty, halus dan meningkatkan kefungsiannya. Sama seperti semua kenderaan BMW, aspek ergonomik yang dikaji sepenuhnya membolehkan operasi kawalan pemanduan dan fungsi-fungsi dilakukan secara optimum. Semua paparan, tuil dan butang yang menawarkan fungsi keselesaan diletakkan di bahagian tengah untuk digunakan oleh pemandu dan penumpang hadapan.
Ambien yang sporty pada BMW 520d Sport baharu diserlahkan lagi menerusi papan pemukanya. Ia dipadankan bersama stereng M yang dibalut kullit serta kemasan dalaman berwarna hitam berkilat. Cita rasa elegan kereta ini dipertingkatkan dengan paparan instrumen multi fungsi. Ia memaparkan talaan berbeza bergantung kepada model Driving Experience yang dipilih, sama ada ECO PRO, Comfort atau Sport.
Paparan Instrumen Multi-Fungsi merupakan yang pertama seumpamanya pada sebuah kenderaan dalam kelasnya. Berbanding dua paparan speedometer dan rev berbentuk bulat yang biasa dijumpai pada reka bentuk kereta tradisional, Paparan Instrumen Multi-Fungsi terdiri daripada sebuah monitor bersaiz 10.25 inci yang membolehkan pemandu untuk memilih paparan daripada pilihan data yang luas.
Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, para pemandu juga boleh mengubah suai Paparan Instrumen Multi Fungsi untuk menunjukkan pelbagai gaya, posisi serta kecenderungan individu. Kemas kini ciri Check Control atau arahan navigasi juga boleh diubah suai.
Sebagai contoh, dalam mod COMFORT, paparan instrumen terdiri daripada kombinasi klasik empat instrumen berbentuk bulat dengan fungsi kanta pembesar untuk menunjukkan kelajuan dan rev semasa kereta. Sementara dalam mode ECO PRO, kaunter rev akan dijelmakan dalam paparan EfficientDynamics lengkap bersama satu indicator yang menunjukkan gaya pemanduan pemandu yang menjimatkan.
Dalam mod SPORT pula, paparan itu menukar speedometer dan kaunter rev kepada format digital, lengkap bersama kedudukan gear semasa di bahagian tengah kaunter rev.
Untuk fungsi yang elegan, BMW 520d Sport baharu turut membawakan rangkaian perkhidmatan mobiliti dan sistem bantuan pemandu yang ekstensif daripada ciri-ciri BMW ConnectedDrive. Ia merangkumi BMW Apps seperti M Lap Timer, GoPro dan Spotify yang boleh didapati daripada Apps store serta Google Play.
Sedan premium ini juga menawarkan integrasi Blutooth yang lancar dengan Android dan iPhone, serta membolehkan sistem Siri diaktifkan. Siri, bantuan suara peribadi untuk iPhone, iPad dan iPod Touch kini boleh dioperasi melalui BMW anda. Seperti biasa, Siri akan menjawab segala soalan dan anda boleh memberi perhatian sepenuhnya kepada jalan raya sepanjang masa.
Pilihan warna dan material di dalam BMW 520d Sport baharu ditingkatkan lagi menerusi garis serta rekaan yang mewah, sporty dan premium. Bahagian atas papan pemuka menggunakan kemasan kayu yang cantik dan material kulit hitam Dakota digunakan sebagai satu ciri standard. Kemasan berkilat berwarna hitam pula menaikkan rasa sporty pada bahagian pintu dan konsol tengah.
BMW 520d Sport baharu akan ditawarkan dalam jumlah terhad iaitu 50 unit sahaja bermula 1 April. Harga sedan sports premium ini adalah RM354,800 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans, lengkap bersama BMW Service + Repair Inclusive (BS+RI) (tertakluk pada terma dan syarat).