Cadangan guna peranti had laju kenderaan untuk kurangkan kemalangan
Semalam Bernama melaporkan, sebagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, kenderaan di Malaysia dicadangkan dipasang peranti yang menghad kelajuan maksimum kepada 110 km sejam.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata cadangan itu sejajar dengan undang-undang di Malaysia yang menetapkan kelajuan tersebut sebagai kelajuan maksimum.
“Jika ini dapat dilaksanakan maka kita akan menjadi negara pertama di dunia menghadkan kelajuan kereta berdasarkan had laju mengikut undang-undang negara,” katanya.
Katanya, alat menghadkan kelajuan ini boleh didapati dengan mudah.
“Ia adalah alat biasa berharga kurang daripada RM500, boleh menghadkan kelajuan sesebuah kenderaan mengikut yang dikehendaki.
“Alat ini boleh dipasang di semua kenderaan termasuk motosikal dan juga boleh dipasang kepada kereta import,” kata Abu Bakar.
Katanya, kereta peronda polis, ambulans, bomba dan agensi penguatkuasa lain wajar dikecualikan dari peraturan berkenaan.
Abu Bakar berkata mengikut statistik kadar kemalangan jalan raya di negara ini setiap tahun adalah tinggi dan banyak mengorbankan nyawa.
“Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya termasuk memperhebatkan operasi penguatkuasaan, namun kemalangan jalan raya sukar dibendung.
“Menghadkan kelajuan semua kenderaan adalah kaedah sesuai untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini,” katanya.