Ford Mustang 5.0L sedang ditayangkan di Publika sehingga 15 Mac ini
Seperti yang diwar-warkan semalam, Ford Malaysia menunaikan janjinya untuk mempertontonkan jentera Mustang 2015 di Publika, Solaris Dutamas, mulai hari ini sehingga 15 Mac.
Walau pun ia hanya akan berada di bilik pameran dijangka pada Disember ini, namun usaha Ford dalam mendedahkan jentera ini terlebih dahulu pastinya mengundang keterujaan terutamanya buat mereka yang tertunggu-tunggu kemunculannya di Malaysia.
Namun, Mustang 2015 yang kini dipertontonkan di Publika adalah model spesifikasi Australia dan pemanduan sebelah-kiri.
Untuk pasaran Malaysia, Mustang 2015 ditawarkan dalam dua versi iaitu Fastback dengan enjin 2.3 liter EcoBoost® yang berupaya menjana kuasa mencecah 310 kuasa kuda dan tork setinggi 434 Nm. Manakala bagi Convertible pula, dipadankan dengan enjin 5.0 liter V8 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 435 kuasa kuda dan tork setinggi 528 Nm.
Kedua-dua versi itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang turut disertakan bersama pedal pengubah gear. Versi Fastback boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.3 saat, manakala Convertible pula 4.3 saat.
Berbanding dengan Australia, ia ditawarkan dengan dua transmisi bagi Fastback iaitu manual enam-kelajuan dan automatik. Manakala Convertible pula hanya transmisi automatik.
Menurut risalah yang turut dipaparkan pada ruang pameran Ford di Publika ini, Mustang 2015 bakal ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Absolute Black, Deep Impact Blue Metallic, Magnetic Metallic, Ruby Red dan Oxford White.
Bagi imej luarannya, pastinya mengujakan kerana ia menyerlahkan sifat penuh maskulin, sporty, mewah dan juga garang. Antara elemen luaran yang ditampilkan ialah lampu utama HID dengan signature lighting, lampu pencahayaan siang, lampu belakang LED, cermin sisi bersama pengesan titik buta, dan ekzos berkembar dengan material keluli tahan karat.
Menjengah bahagian kabinnya pula, elemen serba sporty terserlah sana sini. Antara elemen standard yang ditampilkan termasuklah kawalan kelajuan, dua-zon kawalan suhu, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, MyKey, kamera undur, enam-pelarasan berkuasa bagi tempat duduk hadapan, tempat duduk balutan kulit upholstery, butang mod kawalan pemanduan (Normal, Sport+, Track & Snow/Wet) pada roda stereng, sambungan Bluetooth & USB, sistem hiburan SYNC 2 dengan butang sesentuh LCD bersaiz lapan-inci dan sembilan pembesar suara.
Manakala bagi aspek keselamatannya, ia menampilkan AdvanceTrac ESC, tujuh beg udara bagi Fastback dan lima buat Convertible, 3-poin tali pinggang keselamatan, LATCH lower anchor dan sistem anti-kecurian SecuriLock.
Berkenaan harganya, sehingga kini Ford masih mengunci rapat mengenainya. Namun dijangkakan antara RM300,000 hingga RM350,000 untuk Fastback dan RM500,000 hingga RM550,000 buat Convertible. Apa pun kenalah tunggu pengumuman rasmi dari Ford kelak.