Perodua optimis hadapi cabaran pasaran
Disebabkan cabaran dalam pasaran automatif tempatan, tahun 2014 ini pastinya menyaksikan Perodua turut berhadapan dengan pesaingan daripada kalangan pengeluar kenderaan bukan nasional. Malah cabaran ini juga membabitkan kos sara hidup yang semakin meningkat di Malaysia dan juga syarat yang semakin ketat yang dikenakan oleh institusi kewangan bagi mendapatkan pinjaman membeli kenderaan baharu.
Walau bagaimana pun, 2013 merupakan tahun yang dianggap sebagai bertuah oleh Perodua kerana berjaya memecahkan rekod jualan tersendiri dengan mencatatkan 196,100 unit berjaya dijual. Peningkatan sebanyak 3.7% berbanding tahun 2012 (hanya 189,100 unit), rekod ini dianggap sebagai cemerlang oleh Perodua sendiri.
Ia berikutan dengan permintaan pasaran yang agak tinggi bagi kenderaan mampu milik. Justeru, apabila Perodua melancarkan rangkaian S-Series (Viva S, Myvi 1.3 SE dan Alza S) pada Mac 2013, ia telah menyumbang sebanyak 52.5% daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Bagi 2014, kami menyasarkan pertumbuhan jualan sederhana iaitu 0.2% daripada jumlah 197,000 unit. Jumlah kenderaan yang dikeluarkan mungkin dikurangkan iaitu hanya sebanyak 203,900 unit, kurang 1.5% berbanding pada 2013 iaitu mencecah 207,100 unit,”kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Aminar Rashid turut menambah, cabaran bagi 2014 ini termasuklah jangkaan harga kenderaan secara keseluruhan akan menurun, peningkatan persaingan daripada segmen kereta bukan nasional, kenaikan kadar insflasi, syarat pinjaman pembiayaan sewa beli yang semakin ketat dan sikap ‘tunggu dan lihat’ garis panduan Dasar Automotif Nasional (DAN) baharu.
Tahun 2014 juga bakal menjadi tahun mencabar buat Perodua sendiri dengan sasaran syarikat harus mengekalkan penguasaan pasaran sekitar 30% untuk memastikan kedudukan sebagai syarikat automotif utama di negara ini tidak berubah.
Selain membina kilang kedua yang terletak di Sg. Choh, Rawang dan melancarkan model dinaik taraf Perodua Alza pada 10 Januari lalu, kemungkinan besar pada suku kedua tahun 2014 ini, Perodua dijangkakan bakal melancarkan model serba baharu. Secara tidak langsung diharap dapat membantu Perodua bagi meningkatkan lagi prestasi jualan kenderaan yang diproduksi.