Perodua beri respons berhubung dengan isu keselamatan Myvi & Perodua
Rentetan daripada isu yang dibangkitkan oleh seorang pesara jurutera, Wolf Vaupel, yang telah mempersoalkan tahap kecerahan kluster instrumen Perodua Myvi baru-baru ini dan ia menjadi viral di laman media sosial, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh telah mengeluarkan kenyataan mengenainya.
Menurut Datuk Aminar, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perodua adalah sangat menitik berat soal keselamatan dan ia mematuhi standard keselamatan dalam negeri yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian dan pelbagai agensi.
Malah, generasi pertama Myvi (sekitar 2005-2011) juga telah menerima penarafan Euro 4 dan dieksport ke United Kingdom sebelum ini. Malah pihak Perodua juga telah mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan untuk kepuasan para pelanggan.
Namun, blogger tersebut telah membuat kenyataan bahawa Perodua Myvi dan Alza mampu mendatangkan risiko keselamatan yang tinggi buat pelanggan Perodua. Menerusi entri blog yang disiarkan pada 10 Mac lalu, Vaupel mendakwa lampu pada panel meter berkenaan telah menyala sendiri pada siang hari “boleh mengundang bahaya” serta mengelirukan para pemandu yang menganggap panel meter yang menyala itu adalah petunjuk bahawa lampu hadapan terpasang.
Perodua turut menjelaskan, berdasarkan pertanyaan yang diajukan kepada pihak berkuasa dan syarikat-syarikat insurans menunjukkan bahawa tidak ada perkara yang berbangkit berhubung dengan kluster instrumen yang boleh menyala sendiri itu dengan kes kemalangan jalan raya pada waktu malam.
Di samping itu, kluster instrumen terbabit juga ada ditampilkan pada model kenderaan daripada jenama antarabangsa dan pihak Perodua sendiri berasa hairan mengapa Vaupel hanya ‘menyerang’ Perodua sahaja.
Malah beliau juga mendakwa bahawa perkara ini adalah tidak menepati piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa tetapi tidak memberikan apa-apa keterangan untuk menyokong kenyataan yang dikeluarkannya.
Perodua juga menjelaskan, pihaknya telah menjawab pertanyaan ini berdasarkan dakwaan oleh blogger terbabit.
Walau bagaimana pun, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, Perodua turut mengalu-alukan pelanggannya untuk berkongsi pandangan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap jenama ini. Namun menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan dakwaan yang tidak berasas dan bersedia mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi hak-hak Perodua.
2 Comments