Mazda3 SKYACTIV versi CKD bakal dilancarkan April ini
Pengedar jenama Mazda bagi pasaran Malaysia, Bermaz, telah mengesahkan bakal melancarkan model Mazda3 SKYACTIV versi CKD pada pertengahan April ini. Ia bakal ditawarkan dengan tiga varian iaitu Mazda3 sedan High (spesifikasi-tertinggi), sedan Mid (spesifikasi-pertengahan) dan hatchback.
Berkongsi penjana kuasa yang sama iaitu enjin 2.0L SKYACTIV-G empat-silinder DOHC 16V yang mampu memberikan hamburan kuasa 162 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 4,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan SKYACTIV-DRIVE automatik enam-kelajuan.
Bagi varian sedan, ia berukuran 4588mm panjang, 1795mm lebar, 1450mm tinggi dan 2700mm jarak roda. Manakala model hacthback pula sepanjang 4460mm dan sama ukuran dengan sedan bagi lebar, tinggi dan jarak roda.
Menjenguk bahagian kabinnya, ia turut menampilkan butang penghidup enjin, penghawa dingin kawalan manual bagi sedan Mid tetapi zon tunggal auto buat sedan High dan hatchback. Tempat duduk balutan fabrik pula untuk sedan Mid dan hatchback, serta kulit bagi sedan High yang turut menampilkan tempat duduk pemandu pelarasan elektronik.
Malah varian sedan High dan hatchback, ia turut didatangkan dengan Auto Cruise, sistem navigasi dan cermin pandang belakang anti-silau. Pedal pemboleh ubah juga boleh didapati pada sedan High dan hatchback.
Ketiga-tiga varian juga dihadirkan dengan skrin sesentuh LCD bersaiz tujuh-inci dan untuk sistem hiburan pula menampilkan radio, pemain CD, sambungan Bluetooth, AUX, slot bagi USB dan kad SD serta enam pembesar suara.
Elemen ekstra turut boleh didapati pada Mazda3 SKYACTIV versi CKD ini iaitu paparan pelbagai-informasi dan i-STOP buat ketiga-tiga varian serta Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif dan Kemasukan Pintar buat varian sedan High dan hatchback.
Pertambahan elemen juga ada buat varian sedan High yang terdiri daripada Sistem Kawalan Lampu Tinggi, Sistem Brek Bandar Pintar, Pemantauan Kenderaan di Belakang dan Sistem Amaran Penukaran Haluan.
Bagi imej luarannya, lampu halogen dengan kawalan manual dipadankan untuk varian sedan Mid, sementara bagi sedan High dan hatchback pula tampil dengan lampu Bi-Xenon kawalan auto bersama lampu pencahayaan siang.
Menitik beratkan soal keselamatan, ketiga-tiga varian turut dilengkapi dengan ABS, EBD, BA, DCS, TCS dan enam beg udara.
Harga tentatif (tanpa insurans) bagi Mazda3 SKYACTIV versi CKD ini pula ialah RM105,000 (sedan Mid), RM119,000 (hatchback) dan RM125,000 (sedan High). Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun atau 60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) serta servis percuma.
Mazda3 sedan CBU