Jaguar XF 2016 bakal didedahkan 24 Mac ini
Sementara menantikan detik 24 Mac ini untuk mendedahkan model XF 2016, Jaguar mengambil keputusan menambahkan debaran itu dengan menyebarkan foto pertama model tersebut. Di mana foto ruang kabin menjadi pilihan dan sekali gus menggambarkan XF 2016 masih mengekalkan elemen kemewahan, penuh elegan dan sofistikated.
Pengarah Rekaan Jaguar, Ian Callum, berkata, “Saya percaya XF serba baharu ini merupakan kereta yang memiliki paras rupa terbaik di dalam kelasnya. Elegan, hensem dan menerapkan integriti tersendiri. Malah ia masih mengekalkan elemen penuh tradisi yang kukuh bagi kereta salon Jaguar pada masa ini.”
Memilih kekemasan kayuan dan hitam berkilat menghiasi segenap ruang bahagian kabinnya, Jaguar XF 2016 ini juga ditampilkan dengan sistem hiburan yang baharu, roda stereng tiga-jejari, penukar gear yang telah diberi penambah baikan dan tombol gear berputar.
Walau pun masih mengunci mulut mengenai spesifikasinya, Jaguar menegaskan XF 2016 ini menggunakan platform aluminum-intensive iQ[Al] yang membuatkan ia lebih ringan dan turut membantu memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien iaitu sekitar 4.0L/100km.