Hyundia Veloster 2016 sudah boleh ditempah
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah pun membuka tempahan bagi Veloster Turbo 2016 yang dijangka bakal sampai di Malaysia pada pertengahan April ini.
Diimport sepenuhnya dari Korea, Veloster Turbo 2016 ini merupakan versi pengecas turbo dengan kerangka coupe yang cukup unik dan sporty dengan 1+2 pintu. Ia juga merupakan model pertama Hyundai yang dipadankan dengan enjin 1.6 T-GDI tang menampilkan pemampat-berkuasa tinggi, twin-scroll turbocharger dengan kombinasi sistem GDI.
Gamma 1.6 liter empat-silinder ini merupakan enjin Hyundai yang paling tinggi menggunakan suntikan terus. Teknologi ini membantu menyalurkan lebih kuasa, penjimatan bahan api yang efisien, emisi rendah dan kebolehpercayaan yang tinggi. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 186 PS dan tork setinggi 265Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik klac-berkembar (DCT) tujuh-kelajuan, memberikan pengendalian yang lebih mantap buat Veloster Turbo baharu ini.
Selain daripada enjin, Veloster Turbo ini turut menambah baik beberapa elemen lain dengan menampilkan imej yang lebih sporty termasuklah enjin yang ditala sport, ekzos dan imej hadapan yang baharu, rim aloi bersaiz 18-inci, lampu utama projektor dengan LED, lampu belakang LED, tempat duduk sport dengan dua tona warna dan warna kerangka baharu yang merupakan edisi terhad iaitu Matte Grey.
“Hyundai Veloster Turbo 2016 ini sangat sesuai untuk mereka yang inginkan kombinasi sempurna antara coupe yang penuh bergaya, enjin yang efisien dan juga elemen yang praktikal,” ujar Lau Yit Mun, Pengarah Urusan HSDM.
Ia mungkin bakal dijual pada harga bermula RM150,000 (harga termasuk GST tetapi tidak dilengkapi dengan insurans). HSDM turut menawarkan waranti lanjutan selama lima tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) untuk semua model penumpang baharunya. Malah ia turut menawarkan servis bantuan 24-jam untuk semua model baharu dan sedia ada Hyundai.