Jaguar Land Rover Malaysia anjur majlis pelepasan untuk konvoi Landy De Langkawi
Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd, pengimport eksklusif kenderaan Jaguar dan Land Rover di Malaysia, baru-baru ini menganjurkan majlis pelepasan untuk konvoi 16 Land Rover Defender yang menyertai acara Landy De Langkawi Geopark 2015 dari 15 hingga 19 Mac, 2015.
Lebih 70 peserta yang terdiri daripada Friends of Langkawi Geopark (FLAG) diraikan di bilik pameran dwijenama SISMA Auto yang baru siap di Glenmarie sebelum dilepaskan oleh pengerusi syarikat, Tuan Syed Hussain Syed Mohamed.
Menurut ketua konvoi Kawasan Selatan dan Tengah, Ayub Yasir, Landy De Langkawi 2015 dianjurkan untuk mempromosikan Geopark Langkawi sebagai destinasi utama bagi peminat pengembaraan luar jalan menerusi konsep ekopelancongan.
Konvoi dari Petaling Jaya akan bertemu dengan konvoi lebih 30 kenderaan 4WD lain dari kawasan Utara di Kuala Perlis sebelum menyeberang ke Langkawi.
“Kami mahu tukar persepsi yang menyifatkan pengembaraan luar jalan boleh merosakkan alam semula jadi dan alam sekitar. Kami percaya bahawa pengembaraan secara bertanggungjawab ke kawasan semula jadi boleh membantu memulihara alam sekitar dan menambah baik kesejahteraan masyarakat tempatan. Ramai peminat Land Rover berpegang pada prinsip ini,” katanya.
Pengarah urusan Jaguar Land Rover Malaysia Sdn Bhd, Tuan Syed Mudzhar Syed Ali, berkata bahawa syarikatnya gembira kerana dapat menyokong acara ini yang sekali gus memberi peluang untuk berhubung semula dengan ramai peminat setia Land Rover di negara ini.
“Jenama Land Rover terus mendapat sokongan dan jalinan muhibah disebabkan warisannya yang unik. DNA Defender, yang sinonim dengan keupayaan luar jalan yang tiada tandingan, boleh didapati dalam setiap model Land Rover dan Range Rover hingga ke hari ini,” katanya.
Deretan Land Rover Defender di luar bilik pameran baru memukau pandangan. Ternyata, paling menarik adalah kenderaan ringan Land Rover Siri 3 88 inci tahun 1979 seberat setengah tan berwarna kuning terang milik Howard Randall.
Sungguhpun kecil jika dibandingkan dengan banyak pikap dan wagon Land Rover Defender yang lebih besar dan dihiasi pelbagai aksesori, Series 3 yang comel mempunyai perwatakan, gaya keanggunan dan sejarahnya yang tersendiri.
Dibina untuk dimuatkan ke dalam pesawat pengangkut dan diturunkan dengan payung terjun ke dalam medan peperangan, Series 3 yang ringan ini sering dipaparkan dalam kempen tentera British.
Bagi kebanyakan peminat Land Rover, acara seperti Landy De Langkawi menawarkan peluang yang baik untuk mengakrabkan hubungan kekeluargaan.
John Chai, memandu pikap Land Rover Defender 110 dengan dua ruang tempat duduk dari Labis, Johor, bersama isteri dan dua anaknya untuk pengembaraan sejauh 480km dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis.
“Saya dapat peluang menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga saya dan menjalin hubungan erat dengan pemilik Land Rover yang lain. Penyertaan dalam pengembaraan seperti ini juga membolehkan anak perempuan saya berkenalan dan berkawan dengan kanak-kanak bangsa lain,” kata anak jati Johor ini.