Toyota Corolla Altis ESport Nurburgring Edition dilancarkan di Thailand
Toyota Corolla Altis ESport Nurburgring Edition telah pun dilancarkan di Thailand dan bakal dijual secara rasmi bermula April ini selepas dipertontonkan di Bangkok Motor Show 2015.
Ia diproduksi dengan unit yang terhad, hanya dua pilihan warna sahaja yang ditawarkan iaitu Black Mica yang dijual pada harga 949,000 baht (RM107,920) dan White Pearl pula 959,000 baht (RM109,058).
Terdapat beberapa imej baharu yang ditampilkan termasuklah bampar hadapan yang lebih menyerlah, kekemasan hitam berkilat pada gril hadapan dan stiker khas pada gerbang roda hadapan.
Pada bahagian belakang pula, spoiler yang disambung dengan lampu brek ketiga dan peresap belakang turut ditampilkan.
Manakala pada bahagian kabinnya, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam dan jahitan kontras merah melintang pada papan pemuka menyerlahkan lagi imej dalamannya.
Untuk mekanikalnya, Toyota Corolla Altis ESport Nurburgring Edition dipadankan dengan enjin 1.8 liter empat-silinder Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 141 PS dan tork 177 Nm. Ia turut digabungkan dengan kotak gear CVT yang menyalurkan kuasa pada roda hadapan.