Peugeot 308 serba baharu sudah berada di bilik pameran
Awal Januari ini, model Peugeot 308 serba baharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun beberapa minggu sebelum dilancarkan, Peugeot Malaysia telah mula membuka tempahan bagi model ini. Isnin lalu, Peugeot 308 serba baharu ini telah pun berada di bilik pameran.
Peugeot 308 yang pernah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2014 di Geneva Motor Show tahun lalu, dijanakan oleh enjin 1.6L THP 150 empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 165 Hp. Ia juga dipadankan bersama kotak gear Tiptronic automatik enam-kelajuan.
Model hatchback ini juga boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 9.4 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 211 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya sekitar 15.5 km/l.
Selain itu, 308 serba baharu ini juga bakal dilengkapi pelbagai elemen terkini termasuklah enam beg udara, ESP, Kawalan Kelajuan Dinamik, Emergency Collision Alert dan Emergency Collision Braking.
Ia juga dipadankan dengan rim aloi ‘Saphir’ bersaiz 18-inci yang dibaluti 225/40 Michelin Pilot Sport 3, lampu utama LED, lampu nyalaan siang, lampu kabus, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk pemandu bersama fungsi urut, bumbung panoramik, sistem bunyi Arkamys dengan enam pembesar suara, zon berkembar penghawa dingin automatik serta skrin sesentuh bersaiz 9.7 inci. Ruang kargonya pula berkapasiti 470 liter dan ia boleh ditambah sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Dijangka bakal berharga di bawah RM140,000, Peugeot 308 serba baharu ini turut ditawarkan dengan pilihan warna Pearl White, Artense Grey, Mocha Brown, Rouge Red dan Nera Black.