Ford Everest baharu melangkaui ekspektasi – Bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi
Jika semalam Ford mempertontonkan model Ranger 2015 di Bangkok Motor Show, hari ini giliran Everest serba baharu pula. Ia dilihat telah mendefinisikan kembali pasaran SUV ASEAN dengan rekaan yang berani, teknologi termaju, kemampuan off-road dan jalan biasa yang mengagumkan. Di samping ruang dalaman yang premium dan halus buatannya untuk tujuh orang penumpang.
“Menerusi Ford Everest baharu, kami akan terus mengukuhkan rangkaian produk di seluruh pasaran ASEAN dengan SUV premium yang kompetitif dan berkeupayaan tinggi. SUV ini boleh menjadi sebuah kenderaan keluarga yang selesa atau dibawa meneroka laluan paling mencabar di Asia Tenggara,” kata Presiden Ford ASEAN, Matt Bradley.
Dengan reka bentuk rugged dan beralun yang menyerlahkan kekuatan dan kemampuan teknologinya, Everest baharu menggabungkan aspek kekukuhan, ciri-ciri pintar dan gaya untuk menawarkan pelanggan sebuah SUV yang versatil dengan kemampuan off-road sebenar. Ia turut menawarkan pengendalian di atas jalan biasa yang dinamik dan memuaskan, tanpa berkompromi dari segi keselesaan serta kehalusan buatannya.
Genereasi ketiga Everest ini direka dengan ketahanan untuk menempuh persekitaran yang paling mencabar. Menjadi salah sebuah SUV paling lasak dalam segmennya, Everest memiliki reka bentuk badan di atas kerangka yang sebenar. Ia menawarkan ketegaran yang sememangnya amat diperlukan untuk mengharung laluan sukar.
Dengan sistem pacuan empat roda pintar, satu transfer case aktif bersama ciri Torque on Demand, Terrain Management System, tahap kelegan tanah yang terbaik dalam kelasnya iaitu 225mm serta kemampuan mengharung air setinggi 800mm, Everest membantu pemandu melalui jalan yang mencabar dengan mudah.
Bagi memberikannya kemampuan sebenar, Terrain Management System yang pertama dalam kelasnya menawarkan pemandu dengan empat tetapan talaan iaitu Normal, Snow/Gravel/Grass, Sand dan Rock. Mod-mod ini mengubah maklum balas pendikit kenderaan, transmisi, sistem pacuan empat roda pintar dan kawalan cengkaman untuk menangani apa jua keadaan dengan yakin.
Untuk persekitaran laluan off-road yang ekstrem, pemandu boleh mengunci transfer case secara manual dengan mode paduan empat roda jarak pendek untuk meningkatkan kawalannya.
Keupayaan off-road yang mengagumkan ini dipadankan dengan kualiti pemanduan terbaik dan pengendalian dinamik, melangkaui apa yang diharapkan oleh pelanggan terhadap sebuah SUV yang rugged. Terima kasih kepada pegas gegelung pada suspensi hadapan dan belakang serta sambungan Watt pada gandar belakang, Ford Everest baharu mampu menawarkan pemanduan yang selesa dan stabil bersama pengendalian yang lincah dan boleh dijangka di atas jalan. Sekali gus mengotakan janji DNA Ford untuk menawarkan pemanduan yang menyeronokkan.
Sistem ketersambungan di dalam kenderaan generasi terkini Ford, SYNC 2 membolehkan pemandu menggunakan arahan suara yang biasa untuk mengawal sistem hiburan, suhu dan peranti mudah alih yang telah disambungkan dengan lebih mudah. SYNC 2 terdiri daripada sebuah skrin sentuh bersaiz lapan inci yang bahagian sudutnya dikod menggunakan warna untuk memudahkan navigasi menunya. Sistem hiburan ini menampilkan 10 unit pembesar suara, pertama dalam kelasnya dengan subwoofer bersepadu. Ia menawarkan penghasilan bunyi yang tepat dan bunyi bass berkualiti tinggi.
Teknologi-teknologi lain yang pertama dalam kelasnya dan ada dipasang pada Everest baharu ialah Curve Control. Ia direka untuk membantu pemandu supaya sentiasa berada dalam kawalan ketika menghampiri selekoh pada kelajuan tinggi.
Sementara Blind Spot Information System (BLIS) dengan Cross Traffic Alert pula memberi amaran kepada pemandu apabila terdapat kenderaan pada titik buta mereka ketika memandu atau hendak keluar dari ruang parkir.
Kenderaan ini juga menawarkan ciri-ciri canggih yang lain seperti Roll Stability Control dan Electronic Stability Program yang berfungsi bersama sistem kawalan cengkaman untuk memastikan pemandu sentiasa dapat mengawal keadaan.
Untuk mengurangkan kebimbangan ketika memarkir, Active Park Assist membolehkan pemandu memarkir kenderaan di ruang selari secara bebas tangan. Pemandu hanya perlu menekan minyak, membrek menukar gear iaitu ciri yang pertama dalam segmennya di Thailand.
Selain sistem keselamatan aktif yang canggih, satu kerangka penumpang yang kukuh telah dibina menggunakan material-material yang kuat seperti besi boron. Manakala ciri keselamatan pasif seperti tujuh beg udara membantu memastikan keselamatan penumpang, biarpun jika berlaku kemalangan.
Kemampuan luar biasa Ford Everest baharu ini juga direalisasikan melalui satu daripada dua enjin diesel Ford yang sudah terbukti di peringkat antarabangsa. Enjin daripada keluarga Duratorq itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan automatik atau manual yang tahan lasak dan efisien. Menampilkan teknologi-teknologi termaju yang meningkatkan penjimatan bahan api, enjin-enjin ini menawarkan prestasi luar biasa.
Untuk kuasa dan tork maksimum bagi tujuan menunda, Ford menawarkan enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima-silinder TDCi yang mampu menjana kuasa mencecah 147kW dan tork setinggi 470Nm. Antara penambahbaikan yang diterima oleh enjin ini adalah sistem kitaran semula gas ekzos yang membantu meningkatkan kecekapannya.
Untuk penjimatan bahan api yang maksimum tanpa berkompromi dengan aspek prestasi, Ford turut menawarkan enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat silinder TDCi generasi terkini Ford. Ia mampu menjana kuasa sehingga 118kW dan tork 385Nm.
Bagi reka bentuknya, ia tampil lebih berani dan menyerlahkan kemampuan luar biasa dan ciri-ciri pintar termaju. Rekaan hadapan yang lebar nyata kelihatan garang dengan lampu nyalaan siang LED, sekali gus memberikan penampilan yang penuh kuasa di atas jalan raya.
Ruang dalaman yang tampak model ini turut menggunakan material terbaik dan mengetengahkan garis-garis horizontal untuk menghasilkan ambien yang selesa serta harmoni buat tujuh orang penumpang.
Bahagian dalaman itu juga mengabungkan pemanduan yang selesa dengan aspek praktikaliti terbaik. Ini termasuklah dua panel bumbung suria, pintu belakang kuasa yang pertama dalam kelasnya, lebih 30 ruang penyimpanan barang yang direka dengan bijak, beberapa outlet kuasa, di samping tempat duduk dan susunan ruang kargo yang fleksibel.
Tempat duduk baris kedua boleh dilipat rata. Tempat duduk kuasa baris ketiganya juga boleh dilipat, pertama dalam kelasnya. Semua ini bagi mendapatkan keseimbangan terbaik di antara keperluan penumpang dan kecekapan dari segi pakejnya.
Bagi memastikan kesenyapan kabin yang luar biasa, Ford melengkapkan Everest baharu dengan teknologi Active Noise Cancellation. Ia mengoptimumkan kedapan kabin dan penggunaan material menyerap bunyi pada keseluruhan kenderaan.
Sama seperti sistem-sistem yang digunakan pada telefon bimbit yang menghilangkan bunyi bising, Active Noise Cancellation menggunakan tiga unit mikrofon yang diletakkan secara strategik di dalam kabin untuk mengesan dan mengukur tahap bunyi.
Satu modul kawalan pintar akan menghasilkan gelombang bunyi yang berlawanan secara serta-merta, sebelum disebarkan oleh sistem audio Everest untuk menghilangkan bunyi bising yang tidak menyenangkan. Hasilnya, satu ruang kabin yang senyap dan membolehkan pemandu berbual dengan penumpang di tempat duduk baris ketiga tanpa perlu menjerit.
Ford Everest baharu akan diproduksi di AutoAlliance Thailand di Rayong, Thailand. Harganya bermula 1,269,000 baht (RM142,938) untuk varian 2.2 liter 4×2 Titanium AT. Manakala varian 3.2 liter 4×4 Titanium+ AT pula bermula dengan harga 1,599,000 baht (RM180,108).
Bagi pasaran Malaysia pula, Ford telah mengesahkan ia bakal membawa masuk Everest baharu ini pada suku ketiga tahun 2015. Jadi kenalah tunggu kedatangannya di pasaran kita kelak.