Mazda 2 1.3 SkyActiv-G diperkenalkan di Bangkok International Motor Show 2015
Semalam Mazda sempat memperkenalkan model Mazda 2 1.3 SkyActiv-G di Bangkok International Motor Show 2015. Ia terdapat dalam tiga varian iaitu Standard, High dan High Plus, juga dengan kerangka sedan dan hatchback. Dijanakan oleh enjin 1.3 SkyActiv-G petrol dan dipadankan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dengan mod Sport sebagai standard.
Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 93 PS pada 5,800 rpm dan tork setinggi 123 Nm pada 4,000 rpm, iaitu kurang 19 PS dan 25 Nm berbanding enjin 1.5 petrol yang terdapat di negara kita.
Bagi varian Standard, ia dilengkapi dengan penghawa dingin manual, butang penghidup enjin, i-Stop, tombol gear balutan sutera tanpa kekemasan hitam berkilat, tempat duduk fabrik dan radio. Roda sterengnya tidak dibaluti kulit dan tiada butang kawalan bagi telefon bimbit.
Manakala varian High pula, ia bakal dipadankan dengan rim aloi, zon tunggal penghawa dingin automatik, kemasukan tanpa kunci, kekemasan tekstur kelabu berkilat pada papan pemuka, pemegang gear dengan warna tombol hitam berkilat, dan tempat duduk balutan fabrik berwarna biru.
Kedua-dua varian Standard dan High juga menampilkan panel instrumen centre-speedo spesifikasi rendah serta tiada pedal aluminium.
Varian High Plus sudah pasti menerima elemen yang paling menawan termasuk skrin sesentuh MZD Connect dan tombol Commander Control, pedal alumnium, tempat duduk balutan kulit dengan jahitan merah, kekemasan kulit pada papan pemuka, roda stereng balutan kulit dengan butang kawalan telefon serta panel instrumen digital-speedo spesifikasi tinggi.