Range Rover Sport HST dengan hamburan kuasa 380 hp
Sukar juga untuk rasa tak suka dengan mana-mana model Range Rover kerana selain memiliki imej yang menguja, prestasi dan pengendaliannya sangat wajar diberikan pujian menggunung tinggi. Itu hakikat.
Terbaru, Land Rover telah mengumumkan bakal melancarkan varian terbaharu bagi Range Rover Sport yang diletakkan di bawah model Range Rover Sport SVR dan Supercharged. Diberi nama Range Rover Sport HST, ia merupakan varian edisi terhad yang bakal melakukan penampilan perdana di New York International Auto Show 2015 (NYIAS) minggu hadapan.
Model crossover ini bakal ditampilkan dengan enjin 3.0 liter supercharged V6, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 380 hp. Walau bagaimana pun, Land Rover masih berahsia mengenai perincian mekanikal selanjutnya.
Range Rover Sport HST turut dilengkapi dengan rim aloi berwarna kelabu sutera bersaiz 21-inci, kekemasan hitam pada bahagian bonet dan sekeliling lampu kabus, bumbung Santorini Black dan spoiler belakang.
Pada bahagian kabinnya, tempat duduk balutan kulit dengan dua tona warna ditampilkan bersama kekemasan pintu Ebony dan papan pemuka yang nampak lebih bergaya. Selain itu, pedal aluminium, penukar gear “Noble-plated” dan logo HST juga menghiasi bahagian dalam model ini.