Persatuan Pengedar Perodua mohon kerajaan lulus tuntutan 10% cukai jualan
Implementasi Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan mulai esok mendorong Persatuan Pengedar Perodua memohon pihak kerajaan membenarkan ahlinya untuk menuntut 10% cukai jualan ke atas invois yang dikeluarkan sebelum 1 April 2015.
Menurut Presidennya, Wan Kamal Wan Ismail, sekarang ini semua kenderaan baharu dikenakan cukai 10 peratus dan ini akan diganti dengan GST sebanyak enam peratus selepas 1 April.
“Ini bermakna stok yang tidak dijual, di mana cukai jualan 10 peratus sudah dibayar, akan dikenakan lagi tambahan enam peratus GST selepas 1 April. Setiap pengedar akan rugi secara purata sebanyak RM230,000 akibat dua kali cukai selepas 1 April,” katanya.
Wan Kamal berkata pengedar Perodua kebanyakannya terdiri daripada syarikat-syarikat bersaiz sederhana dan kerugian ini akan memberikan kesan yang besar ke atas perniagaan mereka, terutamanya dari segi aliran tunai dan keuntungan.