GST : Proton turunkan harga sehingga 3.25%
PROTON Holdings Berhad (PROTON) turut tidak ketinggalan mengumumkan harga baharu bagi modelnya yang masih dalam pasaran sempena dengan implementasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015. Di mana ia mengalami penurunan harga sehingga RM1,475 atau 3.25% seunit bagi varian terpilih.
Harga baharu ini melibatkan modelnya iaitu Saga, Persona, Inspira, Satria Neo, Exora, Prevé, Suprima S, dan Iriz.
Mengulas lanjut mengenai harga baharu ini, Dato’ Abdul Harith Abdullah, CEO Proton berkata, “Kini para pengguna boleh membeli Proton Saga dengan harga serendah RM33,242.40 atau Prevé 1.6L berharga RM61,023.46. Semua harga yang diumumkan ini adalah harga atas jalan setelah dikira dengan 6% GST.”
Selain dengan penurunan harga ini, Proton juga telah menambah nilai pada setiap produknya termasuklah menampilkan pelbagai elemen keselamatan. Malah ia juga telah menerapkan banyak teknologi keselamatan yang tinggi dan trekini termasuk pada model Prevé dan Suprima S, yang kedua-duanya telah menerima penarafan lima bintang dari Australasia NCAP (ANCAP) dan ASEAN NCAP.
Bukan itu sahaja, Proton Iriz yang baru dilancarkan pada September tahun lalu turut menerima penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP.